Mahaizura Abd Malik dan Syazwan Msar

KETIKA rakan seusia membesar dengan sempurna, segelintir bayi dan kanak-kanak bertarung nyawa untuk meniti kehidupan.

Pada usia masih kecil, mereka diuji dengan pelbagai penyakit kronik yang perlu dirawat dengan kos tinggi hingga bebannya tidak mampu ditanggung keluarga.

Penderitaan golongan itu dikongsikan Harian Metro sepanjang tahun ini hingga mengundang simpati pembaca, sekali gus mendorong pelbagai pihak tampil menyalurkan sumbangan.

Bagi Djasriza Jasin,41, perkembangan kesihatan anaknya Eusof Muhammad Idzfan berusia tiga tahun yang menghidap Sindrom Lennox Gestaut (LGS) semakin baik selepas menjalani pembedahan memasukkan alat penstabilan gelombang otak, Vagal Nerve Stimulator (VNS) yang berharga RM100,000 dengan kos implan berjumlah RM30,000.

“Selepas 90 hari pembedahan dilakukan, banyak perubahan berlaku kepada Eusof daripada hanya baring, kini dia boleh duduk dan berjalan walaupun tidak stabil macam kanak-kanak lain, perkembangan kecil ini besar maknanya bagi kami.

“Daripada enam sawan perlu dia hadap dengan serangan 40 hingga 100 kali sawan sehari, kini cuma tiga sawan dengan 15 kali sehari saja.

“Sebagai ibu, perasaan paling indah apabila memanggil Eusof dia sudah boleh menoleh dan matanya melihat muka kita dan adakalanya menyentuh muka kita dengan tangan,” katanya.

Menurutnya, hanya doa mampu dikirimkan setiap hari bagi menzahirkan penghargaannya kepada penyumbang yang banyak membantu Eusofsampai ke tahap ini.

“Kepada Harian Metro yang menyiarkan kisah pencarian dana rawatan Eusof sejak 4 Ogos lalu, rakyat Malaysia, UNITAR International University, ahli keluarga dan rakan yang membuka jalan ketika kami buntu, setiap hari kami tidak pernah lupa mendoakan kalian.

“Walaupun tak dapat sebut satu persatu nama, kami mahu ucapkan terima kasih banyak-banyak. Semoga Allah balas setiap budi dan kasih sayang dikongsi bersama kami,” katanya.


Bagi Siti Sarah Othman, 30, hanya Allah mampu membalas budi rakyat Malaysia khususnya pembaca akhbar ini, ahli keluarga dan rakan taulan kerana dengan sumbangan diberikan banyak membantu perkembangan kesihatan anaknya, Hana Sofea Abdul Salam yang berusia 21 bulan akibat menderita penyakit Biliary Atresia atau kegagalan fungsi hati.

“Pada mulanya, kami cuma dapat kumpul RM50,000, tetapi selepas kisah anak saya disiarkan akhbar ini 28 Mei lalu, dana meningkat drastik mencecah RM200,000 hingga membolehkan Hana Sofea menjalani pembedahan 12 Julai lalu.

“Sebagai ibu, saya bersyukur kerana banyak perubahan berlaku kepada anak saya termasuk boleh berjalan, fungsi hatinya semakin normal, berat badannya sudah naik dan selera makan bertambah baik.

“Saya hendak ucap terima kasih kepada Harian Metro, penderma dan pihak Nadi Permata Malaysia kerana banyak membantu,” katanya.


Sementara itu, penyakit kulit anaknya semakin pulih dan bantuan sudah diterima Nurul Ain Abdullah, 29, dan dua anaknya masing-masing Lela Safiya Azmi, 2, serta Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan selepas kisahnya dipaparkan di Harian Metro, 16 November lalu.

Malah, kesusahan dialami mereka mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk artis tanah air Datin Paduka Eina Azman yang sudi menaja rawatan dua anak Nurul Ain sehingga sembuh.

Nurul Ain berkata, sejak dipaparkan di Harian Metro, dia menerima ratusan panggilan telefon daripada individu dan syarikat korporat yang mahu menghulurkan bantuan bagi merawat penyakit anaknya itu.


“Alhamdulillah, hanya dalam tempoh seminggu saya menerima bantuan daripada orang ramai mencecah RM40,000 selepas kisah dipaparkan.

“Penyakit kulit anak juga semakin sembuh dan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudah diterima,” katanya.

Pelbagai bantuan turut disalurkan kepada orang lain:

Nur Nia Alisha


Seorang ibu tunggal, Siti Zailah Zainal, 40, terpaksa mendukung anaknya bersama kerusi roda setiap kali menuruni tangga rumah sewa mereka di tingkat dua rumah kedai tiga tingkat di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, sejak tiga tahun lalu.

Keadaan anak bongsunya, Nur Nia Alisha, 8,yang terlantar akibat palsi serebral (CP) menyebabkan dia perlu membawa kanak-kanak itu bersamanya setiap kali keluar bagi urusan harian.

Kepayahan Siti Zailah mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akhirnya memasukkan nama ibu tunggal berkenaan dalam senarai Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas kisah mereka disiarkan akhbar ini 8 Mac lalu.

Jantung kembar siam Muhammad Yafits


Perkembangan Muhammad Yafits Haiqal Abd Rasid berusia 18 bulan terbantut disebabkan memiliki jantung kembar siam (dextrocardia) selain hanya satu injap yang berfungsi.

Bapanya, Abd Rasid Atan, 35, yang bertugas sebagai wardar penjara tidak mampu menanggung kos ulang alik dari kediaman mereka di Kajang ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan selain perbelanjaan susu khas dan makanan tambahan bayinya itu.

Susulan pendedahan akhbar ini pada 28 Mac lalu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan berjumlah RM7,051.50 bagi meringankan beban untuk tempoh sepanjang tahun ini.

Hati kronik Muhammad Haryk

Penderitaan Muhammad Haryk Muzeer Zulkarnain, 3, yang menghidap hati kronik mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas kisahnya dikongsikan akhbar ini 12 dan 13 Jun lalu.

Susulan laporan itu, sumbangan berjumlah RM250,000 berjaya dikumpul untuk tujuan kos rawatan pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di India.

Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya apabila kanak-kanak itu meninggal dunia pada September lalu selepas 16 hari menerima hati baru daripada ibunya, Nurul Ain Mohd Yasin, 25.

Pemergian kanak-kanak itu turut dirasai rakyat Malaysia khususnya pembaca akhbar ini yang mengikuti perkembangannya sejak dari mula mencari dana.

Ekzema Thaqif

Bayi enam bulan, Thaqif Arjuna Hapandi menderita akibat ruam teruk atau ekzema termasuk menggaru badannya hingga berdarah.

Ibu bapanya tidak mampu menanggung kos perbelanjaan untuk rawatan di hospital swasta.

Dua minggu selepas kisah Thaqif Arjuna dilaporkan Harian Metro 20 September lalu, bayi itu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pelakon Datin Paduka Eina Azman dan suami, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah turut sudi membiayai perubatannya hingga sembuh.

Hati kronik Ahmad Zeyad


Kisah Ahmad Zeyad Mohd Riduan yang berusia 18 bulan yang memerlukan RM80,000 bagi kos pembedahan pemindahan hati di Shanghai, China mendapat perhatian pembaca akhbar ini, 4 Oktober lalu.

Penderitaan bayi itu, turut menarik perhatian pemain gitar kumpulan Search, Kid yang mengambil inisiatif menganjurkan showcase Rockin’ the Blues di Sijangkang, Klang, 21 Oktober lalu bagi mengutip dana.

Akhirnya November lalu, bayi berkenaan bersama ibu bapanya berlepas ke Shanghai untuk menjalani pembedahan pemindahan hati selepas kutipan dana berjaya diperoleh.

Hati kronik Siti Hawa

Tumbesaran Siti Hawa Mohamad Faqhrul Azhar, 10 bulan terbantut apabila berat badannya hanya enam kilogram manakala matanya kekuningan dan perut serta limpa mengeras akibat menghidap hati kronik.

Dalam tempoh sebulan kutipan dilancarkan termasuk disiarkan akhbar ini sejak 13 November lalu, akhirnya jumlah dana diperlukan RM160,000 berjaya dikumpul.

Bayi itu diterbangkan ke China 14 Disember lalu untuk menjalani pembedahan pemindahan hati milik bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 11:17 AM