KURA-KURA gergasi ini dibawa masuk ke Zoo Negara lebih 40 tahun lalu.
KURA-KURA gergasi ini dibawa masuk ke Zoo Negara lebih 40 tahun lalu.
Mahaizura Abd Malik

HULU KELANG: Kura-kura spesies Aldabra dari Kepulauan Seychelles, berusia lebih 80 tahun menjadi haiwan tertua masih hidup di Zoo Negara.

Pengarah Zoologi, Hospital, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda, Dr Mat Naim Ramli berkata, kura-kura gergasi berkenaan di bawa masuk ke Zoo Negara lebih 40 tahun lalu.

“Reptilia ini tidak dibiakkan setakat ini. Zoo Negara ada tiga Aldabra dan semua kura-kura ini jantan. Berat masing-masing mencapai antara 300 hingga 350 kilogram (kg).

“Kura-kura ini cuma makan sayur-sayuran seperti pucuk ubi dan lobak, jadi kos penjagaannya tidak tinggi,” katanya.

Menurutnya, sistem pengurusan yang baik dan teratur turut diamalkan di Zoo Negara menyumbangkan kepada peningkatan jangka hayat haiwan hingga ada mencapai tahap usia maksimum.

“Kami bertuah kerana daripada aspek pengurusan jangka hayat haiwan di Zoo Negara mencapai tahap usia maksimum. Banyak kematian direkodkan tapi disebabkan haiwan berkenaan sudah tua dan bukan faktor lain.

“Aldabra contoh haiwan berusia lebih 80 tahun masih hidup di Zoo Negara, kalau di zoo di Macau pula seekor burung kakak tua di sana dilaporkan berusia 60 tahun. Pihak pengurusan Zoo Negara masih mampu menjaga kebajikan semua haiwan ada di sini,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod Zoo Negara juga muncul sebagai pusat perkembangan dan kesuburan haiwan terbaik di dunia.

“Selain rekod membiakkan panda dalam tempoh setahun, Zoo negara juga berjaya membiakkan cheetah selepas dua bulan pertama tiba di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 7:56 AM