MOHD Nor Ramzol menunjukkan landak raya yang diternak secara komersial di Kampung Batu 13 Tempoyang, Lipis.
MOHD Nor Ramzol menunjukkan landak raya yang diternak secara komersial di Kampung Batu 13 Tempoyang, Lipis.
Mohd Rafi Mamat


LIPIS: Tidak mudah dijangkiti penyakit selain mudah menjaganya mendorong aktiviti menternak landak raya secara komersial bagi memenuhi permintaan penggemar hidangan binatang eksotik di negara ini.

Ini diakui oleh Mohd Nor Ramzol Mohd Tafri, 55, yang sudah menceburi bidang ternakan binatang berkenaan menggunakan sistem kurungan simen di Kampung Batu 13 Tempoyang, dekat sini, sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, bermula dengan 12 ekor dibeli daripada rakan berharga RM9,000, dia kini mempunyai 30 haiwan itu membabitkan 16 betina dan 14 jantan.

Katanya, haiwan eksotik itu tidak mudah dijangkiti penyakit termasuk luka kecil yang boleh mengundang kepada kematian serta tidak aktif.

“Menternak landak raya dan rusa timur jauh lebih mudah dan tidak terlalu membebankan, saya hanya beri tumpuan terhadap makanan selain menjaga kebersihan kurungan yang perlu dibersihkan setiap hari.

“Saya membelanjakan RM250 sebulan bagi menyediakan makanan landak seperti sayur, ubi dan buah,” katanya di sini, semalam.

MOHD Nor Ramzol memberi makanan kepada landak.
MOHD Nor Ramzol memberi makanan kepada landak.

Dia yang pernah berkhidmat dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, landak betina dewasa mampu melahirkan anak dua kali setahun selepas berumur tiga hingga empat bulan anak akan dipisahkan daripada ibu dan ditempatkan dalam kurungan khas.

Mohd Nor Ramzol berkata, makanan yang paling diminati landak raya ialah labu, ubi kentang dan keledek selain kangkung dan perlu diberi makan tiga hingga empat kali.

Datuk kepada dua cucu itu yang mempunyai lesen menternak haiwan eksotik juga berkata, ia memerlukan kurungan yang diperbuat daripada simen sepenuhnya bagi memastikan haiwan itu tidak terlepas kerana gigi landak kuat dan mampu merosakkan jaring besi.

“Saya belajar menternak landak raya dan rusa timur menerusi pengalaman sendiri selama dua tahun serta turut mendapat bantuan dua anak Afwan Sariq, 19, dan Hafiz Syamir, 24 tahun,” kata bapa kepada lapan anak itu.

Dia juga berhasrat memperbesarkan lagi projek ternakan landak raya dan rusa timur secara berperingkat kerana permintaan terhadap haiwan eksotik begitu menggalakkan dengan harga yang tinggi.

“Sokongan serta kemudahan yang disediakan agensi berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menambahkan lagi semangat saya untuk terus berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:28 AM