KEADAAAN bas berkenaan. FOTO Ihsan Polis
KEADAAAN bas berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Fardy Bungga dan Recquael Raimi


KANAK-KANAK lelaki berusia dua tahun tiga bulan adalah antara lima mangsa yang disahkan meninggal dunia dalam nahas bas di Kota Marudu, hari ini.

Ia selepas bas membawa rombongan staf dan ahli keluarga warga Politeknik Sandakan terbabas dan terbalik.

Bayi terbabit, Abdul Fattah Sallehudin yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kota Marudu.

Bayi itu anak kepada seorang pensyarah wanita yang parah dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata empat lagi mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Mereka termasuk tiga pensyarah wanita iaitu Annie Gideon, Suzannie Stephen Galaut, 39, dan Esther Michelle Gunben.

Seorang lagi mangsa ialah Khairul Zafari, iaitu ahli keluarga kepada kakitangan politeknik berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, bas milik politeknik berkenaan membawa 41 penumpang termasuk pemandu.

Mohd Izaan berkata, ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan dari Sandakan ke Kudat untuk program hari keluarga.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Marudu dan Hospital Ranau untuk rawatan.

Berita berkaitan:

  • Lima penumpang bas maut
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 9:59 PM