KUALA LUMPUR 18 NOVEMBER 2018. Pengetua, Aizanuddin abdullah turun padang menyertai kumpulan buskers RJ TAZKERS untuk mencari dana tampung operasi pusat tahfiz. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 18 NOVEMBER 2018. Pengetua, Aizanuddin abdullah turun padang menyertai kumpulan buskers RJ TAZKERS untuk mencari dana tampung operasi pusat tahfiz. NSTP/EMAIL
Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Sanggup turun padang menyertai kumpulan buskers menghiburkan orang ramai bagi mencari dan mengumpul dana membiayai operasi pusat tahfiz miliknya yang baru sebulan ditubuhkan.

Itu usaha murni dilakukan Pengetua Akademi Riyadhul Jannah di Semenyih, Selangor, Azainuddin Abdullah, 39, sejak awal tahun ini.

Dia yang bergerak bersama-sama kumpulan Seventh Musafir dan Kamijadi Band itu akan menyampaikan tazkirah sambil diselangi lagu-lagu ketuhanan dan rentak terkini nyanyian ahli kumpulan terbabit.

Azainuddin berkata, mereka membuat persembahan di lokasi tumpuan ramai di sekitar Lembah Klang pada setiap hari.

“Kami menggunakan konsep tazkers iaitu menghiburkan orang ramai dengan tazkirah dan buskers.

“Mereka membuat busking manakala peranan saya pula menyampaikan tazkirah dalam setiap persembahan.

“Tujuannya untuk mengutip dana bagi menampung kos operasi pusat tahfiz Akademi Riyadhul Jannah,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu lebih berkesan berbanding meletakkan tabung di restoran yang kebiasaannya risiko berlaku kecurian dan kehilangan tabung.

AIZANUDDIN (belakang tiga kanan)  turun padang menyertai kumpulan buskers RJ TAZKERS untuk mencari dana tampung operasi pusat tahfiz. FOTO/NSTP
AIZANUDDIN (belakang tiga kanan) turun padang menyertai kumpulan buskers RJ TAZKERS untuk mencari dana tampung operasi pusat tahfiz. FOTO/NSTP

“Dalam sehari, kami boleh kumpulkan antara RM100 dan RM300 bergantung kepada tempat.

“Tahfiz ini milik masyarakat, jadi bila kita buat macam ini secara tak langsung kita membuka ruang kepada orang ramai membantu pusat tahfiz memerlukan.

“Tidak semestinya wang ringgit saja, malah mereka boleh menyumbang idea, cadangan, tenaga dan kepakaran untuk membantu mengembangkan pusat tahfiz seperti kami ini,” katanya.

ANTARA program di Akademi Riyadhul Jannah.  FOTO/NSTP
ANTARA program di Akademi Riyadhul Jannah. FOTO/NSTP

Katanya, pusat tahfiz berkenaan memulakan operasi di bangunan sewa dan prasarananya masih belum lengkap.

“Masih ada prasarana dalaman termasuk bilik guru, kerusi, meja, penghawa dingin dan sebagainya masih belum mencukupi.

“Jadi dengan usaha seperti ini diharap dapat meringankan beban kami membiayai kelengkapan untuk keselesaan pelajar kami,” katanya.

Menurutnya, mereka menggunakan silibus Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan berdaftar dengan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA).

“Sejak memulakan operasi pada Oktober lalu, pelajar kami kini sudah mencecah 40 orang berusia tujuh hingga 17 tahun.

“Hanya segelintir pelajar saja membayar yuran manakala selebihnya seperti anak yatim dan fakir miskin kami tanggung sepenuhnya termasuk makan minum semua pelajar,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang menerusi akaun Maybank 564445536717 atas nama Akademi Riyadhul Jannah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 11:01 AM