Norhayati Nordin


"SAYA sedar apa yang ditampilkan pada awal hingga pertengahan jalan cerita dalam muzik video single Bekas Kekasih itu tetap salah.

"Namun, saya nekad ambil risiko ini dengan mengangkat isu semasa seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," kata penyanyi Tomok, 34.

Menurut Tomok lagi, dia juga ada mendapatkan pandangan daripada tokoh agama dikenalinya untuk mendapatkan penjelasan terperinci.

"Saya tahu apa yang salah diketengahkan dalam muzik video Bekas Kekasih itu tetap salah, namun masih ada pengajarannya.

"Kepada mereka yang menonton muzik video itu, saya tegaskan supaya ambil positif pada mesej dipertontonkan dalam paparan cerita 15 saat terakhir.

"Dalam kehidupan ini, seharusnya kita sedar kesilapan diri lebih awal dan jangan sampai kematian datang baru terfikir mahu berubah," ujarnya.

Tomok atau Shah Indrawan Ismail berkata apa pun dia terima baik segala kritikan diberi orang ramai termasuk golongan ilmuan agama terhadap muzik video berkenaan.

Jelas penyanyi lagu Bagaikan Bidadari ini, dia sama sekali tidak melatah dengan kritikan diberi kerana tujaannya untuk berdakwah.

"Saya anggap ia sebahagian dakwah kecil yang dilakukan untuk menyampaikan mesej positif dan sedikit pengajaran kepada masyarakat.

"Setiap orang ada cara mereka berdakwah. Saya sebagai seorang selebriti, mungkin ini cara dakwah kecil saya," katanya.

Menurut Tomok, memandangkan dia juga sudah lama tidak muncul dengan single baru maka harus tampil kelainan.

Terdahulu, video muzik single Bekas Kekasih tular kerana Tomok dan pelakon Beto Kusyairi tampil berpakaian wanita.

Pelbagai reaksi netizen berhubung muzik video itu termasuk ada yang berpendapat tindakan selebriti itu dianggap tidak menghormati agama Islam yang melarang seseorang tampil dengan imej berlawatan jantina.

Sejak muzik video single Bekas Kekasih ciptaan Aizat Amdan dan lirik oleh Mel Ramlan dilancarkan kelmarin, setakat ini ia mencatat #5 trending di YouTube.

Sementara itu, Beto yang turut dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung isu yang timbul berkenaan.

Menerusi kiriman aplikasi Watsapps, Beto berkata yang lebih tepat untuk bercakap mengenainya adalah tuan empunya lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:57 PM
Tomok tampil dalam video single Bekas Kekasih. FOTO HM Digital/Youtube
Tomok tampil dalam video single Bekas Kekasih. FOTO HM Digital/Youtube