Hans mahu buat pembaharuan. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Hans mahu buat pembaharuan. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON dan penerbit, Datuk Hans Isaac mengesahkan dirinya antara calon disenarai pendek bersama tiga individu lain merebut jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menggantikan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Hans, 47, berkata, dia sudah menjalani sesi temuduga bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, baru-baru ini.

“Betul, saya dipanggil menteri beberapa kali untuk ditemuduga jawatan itu. Namun, buat masa sekarang belum ada sebarang keputusan rasmi daripada pihak kementerian.

“Sebagai calon, saya sudah bersedia jawatan ini. Malah, saya berasakan status anak seni layak untuk berada di kerusi nombor satu badan kerajaan ini. Kalau dipilih, saya adalah anak seni pertama memegang jawatan ini.

“Memandangkan saya terbabit secara langsung dalam bidang seni lebih 20 tahun lalu, jadi saya sudah masak dan faham dengan apa dilalui anak seni selama ini,” katanya kepada Harian Metro.

Hans ditemui pada majlis pengumuman Finalis Dewi Remaja 2018/2019, hari ini berkata, dia turut membentangkan 15 manifesto sebagai perancangan perubahan dalam industri sekiranya menjawat jawatan itu.

“Kalau saya dipilih untuk jawatan ini, memang banyak perubahan bakal dibuat terutama dasar yang sedia ada di FINAS.

Saya akan tukar semuanya. Mungkin makin ramai yang tak sukakan saya jika perkara ini direalisasikan.

“Saya tahu ini kerusi panas dalam FINAS, tapi sebagai orang yang pernah melalui pelbagai situasi dalam industri, bagi saya perlu ada pembaharuan.

“Antara perkara utama yang akan saya tekankan adalah menjaga kebajikan penggiat industri membabitkan nasib artis veteran, insuran, wang simpanan pekerja (KWSP), Socso, kontrak dan banyak lagi,” katanya.

Ditanya jika ada pihak yang mempersoalkan kredibilitinya bagi memegang jawatan itu, Hans mencabar pihak terbabit untuk bersemuka dengannya.

“Saya tahu kebanyakan daripada mereka pernah berada dalam FINAS, tetapi tak ada sebarang perubahan.

“Jadi, datang jumpa saya, kerana saya juga nak tahu apa sumbangan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:27 PM