DINI Schatzmann. FOTO Blackpepperproduction
DINI Schatzmann. FOTO Blackpepperproduction
Najiy Jefri

Kelibat bintang baru Dini Schatzmann dalam industri seni lakonan pantas mencuri tumpuan khalayak.

Pembabitan sulungnya dalam drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek membuatkan banyak mata mengintai bakat yang dimiliki jejaka berusia 24 tahun ini.

Terjun ke bidang seni lakonan sejurus tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti of British Columbia, Kanada selama lima tahun, ada yang beranggapan langkah Dini amat merugikan.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada dua beradik ini tidak melihat keputusannya menceburi dunia seni sebagai langkah yang sia-sia.

“Ijazah dalam bidang kejuruteraan adalah impian ibu bapa saya. Jadi saya habiskan lima tahun dan berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Selepas dua tahun mengikuti program kejuruteraan di Kanada, saya dapat rasakan bidang ini bukan jalan terbaik untuk saya kerana jiwa lebih cenderung dengan perkara berseni.

“Saya bersyukur ibu perkenalkan saya dengan beberapa pengarah dan penerbit selepas tamat pengajian.

“Jadi, Mei lalu saya nekad datang ke Malaysia dan mengikuti kelas lakonan serta bahasa Melayu untuk memantapkan penguasaan bahasa saya” katanya.

Kata Dini, dia tidak pernah menyesal memilih lakonan sebagai kerjaya tetap malah menganggap ia cabaran baru untuk ditempuh.

“Pada saya ia bukan keputusan yang salah atau sia-sia. Bidang kejuruteraan yang didalami selama lima tahun sudah saya lunaskan.

“Kini satu lagi cabaran baru yang perlu dihadapi tetapi seronoknya saya suka. Saya percaya apa yang dipelajari selama ini boleh digunakan dalam bidang lakonan. Ada beberapa elemen yang boleh saya warnakan untuk kerjaya lakonan nanti,” katanya.

Biarpun fasih bertutur dialek utara, Dini sedar untuk menjadi pelakon dia tidak boleh pelat apabila melontarkan dialog.

Oleh itu, sebelum memperjudikan nasib dalam gelanggang seni, Dini mengambil langkah awal dengan mengikuti kelas lakonan bersama pelakon Fatimah Abu Bakar.

“Saya tidak pernah tinggal di Malaysia. Buku bahasa Malaysia juga saya tidak pernah baca. Saya pandai bertutur bahasa Malaysia pun apabila ibu sering cakap dialek utara di rumah.

“Apabila dapat peluang berlakon di sini, saya terus masuk kelas bahasa Malaysia dan lakonan. Saya tidak mahu kehadiran saya nanti akan menyusahkan orang lain. Jadi saya perlu perbetulkan dialek saya.

“Tambahan pula, ketika berlakon saya perlu mengeluarkan emosi, jadi kena belajar teknik lakonan terlebih dahulu. Saya bimbang kalau hanya lontar dialog daripada skrip yang diberikan tapi tak faham maknanya. Susah saya nanti,” katanya.

DINI Schatzmann. FOTO Blackpepperproduction
DINI Schatzmann. FOTO Blackpepperproduction

Mimpi jadi nyata

Bersyukur kerana laluan kerjaya seninya berlangsung dengan pantas, Dini berharap momentum itu akan berterusan supaya dia dapat menumpahkan sepenuh kecintaan terhadap bidang lakonan.

“Saya tak sangka dapat peluang secepat ini. Perasaan saya bercampur-baur. Dalam pada gemuruh untuk berhadapan dengan perubahan ini, saya rasa seronok kerana akhirnya impian jadi kenyataan.

“Saya selalu percaya dan mengingatkan diri supaya jadi diri sendiri serta jangan sesekali hanyut dibuai populariti.

“Disebabkan itu saya tidak bimbang kerana sudah tanam niat dalam diri sebelum melangkah masuk ke bidang ini,” katanya.

Perkembangan lain, Dini bakal menjayakan drama Bukan Cinta Aku arahan Erma Fatima untuk siaran TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 9:15 AM