ELLIE. FOTO Syarafiq Abd Samad
ELLIE. FOTO Syarafiq Abd Samad
Farah Marshita Abdul Patah


PELAKON dan pengarah terkenal Ellie Suriati, tidak terkesan dengan kecaman masyarakat yang tidak bersetuju dengan tindakannya memberi sokongan kepada bekas pemimpin UMNO.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriati Omar, 48, antara individu yang dilihat sering hadir ke mahkamah bagi mengikut prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, beliau masih bergiat aktif dalam bidang seni sebagai penulis skrip dan pengarah filem, namun sebagai rakyat negara ini beliau boleh memberikan pandangan mengenai politik.

“Namun, bila anak seni memberi pendapat mengenai hal politik, semua orang seolah-olah terkejut. Setakat ini daripada segi pekerjaan, saya tidak diketepikan... Namun kita faham-faham sajalah.

“Ini adalah pengorbanan yang harus diambil dan saya percaya Allah meletakkan kita dalam satu laluan dengan bersebab. Walaupun kadangkala kita tidak boleh nak fikir kenapa,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah pelakon Filem Paloh itu, beliau menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang sangat dinamik dan pemimpin berjiwa rakyat.

“Pada saya beliau tiada galang ganti, malah, bekas Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, menyatakan Najib adalah seorang yang luar biasa.

“Namun rakyat negara ini tidak menghargai beliau dan lebih mempercayai perang persepsi,” katanya.

Ellie berkata, beliau mengalami kemurungan selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mac lalu.

“Sebelum ini saya tak pernah terbabit dengan politik, malah, saya tidak pernah menghadiri sebarang acara UMNO.

“Tiba-tiba bila kerajaan BN jatuh, saya kemurungan selama seminggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 6:05 PM