PELAKON, Scha Alyahya atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya. FOTO Aziah Azmee
PELAKON, Scha Alyahya atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir


SELAMA lebih 10 tahun dalam industri hiburan, pelakon Scha Alyahya berjaya membina nama dan kerjaya dengan menjadi diri sendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Scha, 35, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berada dalam kelas tersendiri.

Malah, keperibadian dan personaliti Scha juga membuatkan dia cukup disenangi. Ia sekali gus memudahkan orang sekeliling bekerjasama dan mendekati dirinya.

Namun, berada pada tahap sekarang memberikan cabaran tersendiri buat Scha, apatah lagi industri hiburan dimeriahkan dengan kemunculan wajah baru dan jauh lebih muda.

Disebabkan itu, Scha mengatur strategi dengan memastikan setiap tahun dia perlu muncul dalam tiga drama dan satu program pengacaraan supaya namanya kekal relevan.

“Selepas berkahwin dan mempunyai anak, sudah tentu komitmen dalam kerjaya berubah malah ia menjadi keutamaan saya. Namun, bidang hiburan tidak boleh dilupakan begitu saja. Cuma, saya perlu rancang dan atur sebaik-baiknya supaya ia berjalan dengan baik.

“Apa saya cuba lakukan adalah dalam setahun perlu ada beberapa projek drama dan pengacaraan di TV. Jika kebetulan jadual mengizinkan lebih banyak projek pun tidak ada masalah. Pada masa sama, saya juga perlu bijak memilih.

“Saya perlu dahulukan mana yang utama. Saya juga tidak boleh nak berlakon sentiasa. Mungkin sebab itu juga ada segelintir peminat bertanya saya masih berlakon atau tidak,” katanya.

Dari sudut lain, Scha antara artis yang bertuah kerana sering menjadi pilihan sebagai duta produk.

Berbekalkan nama, kerjaya dan kualiti yang sedia ada, Scha berjaya mengikat pihak terbabit untuk setia bekerjasama dengannya.

“Apa yang penting kita kena tahu macam mana nak memasarkan diri, jaga nama dan kualiti. Dari situ pihak yang ingin bekerjasama akan terus meletakkan kepercayaan kepada kita.

“Selain itu, kita perlu yakin dengan produk diwakili. Kalau boleh jangan kedekut bantu mempromosikan produk terbabit,” katanya.

Pada masa sama, Scha tidak bersetuju jika kontroversi seseorang artis membantu menarik perhatian mana-mana pihak untuk bekerjasama.

“Bagi saya, istilah kontroversi ketika ini lebih kepada untuk meningkatkan jumlah pengikut di laman sosial. Tidak dinafikan, dari situ mereka boleh menarik perhatian pihak lain untuk bekerjasama dengannya.

“Bukan apa, terdapat segelintir pihak yang memandang jumlah pengikut sebagai pengukur sebelum memilih seseorang artis bagi mewakili produk mereka. Sebaliknya, ada juga pihak yang inginkan eksklusiviti,” katanya.

Tidak mudah melatah

Terdedah dalam keghairahan zaman laman sosial, Scha tidak menafikan pernah suatu ketika menjadikan laman Twitter sebagai medium meluahkan rasa marah dan tidak puas hati.

Namun, mengambil iktbar setiap apa yang dimuat naik, Scha berubah menjadi lebih relaks dan tenang walaupun ketika ini dia menjadi bahan kritikan pengguna laman sosial.

“Dulu hati saya sangat lembik. Orang mengata sikit saya akan mengamuk di Twitter, tetapi tak lama selepas itu saya belajar berubah menjadi orang yang tidak cepat melatah dengan sesuatu isu. Dalam erti kata lain, saya dapat kawal emosi diri.

“Macam sekarang, saya sudah jadi biasa. Cakaplah apa pun, saya buat tidak tahu saja. Saya malas nak layan melainkan jika perkara yang disentuh itu berbaloi untuk dibetulkan, baru saya akan memberikan maklum balas,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Scha bakal muncul dalam drama mini bersiri digital berjudul Dua yang akan ditayangkan di portal Gempak.

Drama empat episod arahan Michael Ang itu turut menampilkan Sharifah Sakinah, Ben Amir dan Sweet Qismina.

“Ini projek pertama saya dalam drama mini bersiri digital. Ia sama saja macam drama lain, cuma ditayangkan secara online. Jadi, peminat boleh tengok di mana-mana dan bila-bila masa saja tanpa perlu tunggu depan kaca TV.

“Dalam drama ini saya melakonkan watak antagonis bernama Daniella. Ini kali kedua Michael memberikan watak sebegini. Mungkin dia tengok saya boleh bawa watak ini. Pada masa sama, dia nak kembangkan lagi lakonan saya.

“Walaupun tidak membabitkan banyak babak, watak sebegini selalu meninggalkan kesan kepada penonton. Malah, penonton akan ingat watak itu,” katanya yang bakal mengacarakan program Dewi Remaja 2018/2019.

Selain itu, Scha juga bakal muncul dengan filem Bikin Filem yang bakal ditayangkan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 5:30 AM