SYURA tidak kenal erti putus asa. FOTO/FAIL
SYURA tidak kenal erti putus asa. FOTO/FAIL
Sudirman Mohd Tahir


TAHUN ini genap 18 tahun usia pembabitan Syura dalam bidang nyanyian. Sepanjang tempoh itu, Syura melalui detik jatuh bangun sebagai anak seni hingga mematangkannya.

Tidak mengenal erti putus asa, Syura, 32, atau nama sebenarnya Zuraidah Badron sentiasa mencari peluang untuk terus kekal relevan.

Walaupun perlu bersaing dengan penyanyi muda atau kini dikenali sebagai Budak Baru Nak Up (BBNU), Syura tidak menganggap usia menjadi penghalang untuk berjaya.

Bertitik tolak dari situ, Syura kini mengembangkan bakat dengan berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik.

Lagu Ego hasil ciptaannya yang dilancarkan penghujung April lalu adalah bukti Syura serius untuk mengorak langkah. Berpegang pada prinsip tidak ada yang mustahil tanpa usaha, Syura yakin dengan apa yang dilakukan.

Walaupun karya sulungnya itu mendapat kritikan, ia bukan penamat kepada langkah baru Syura kerana menganggap itu adalah proses pembelajaran untuk memajukan diri.

“Selepas habis program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), saya tercari-cari syarikat pengurusan dan rakaman yang boleh membantu kerjaya. Malangnya, saya tidak diberi peluang tetapi tetap nak cari juga supaya nama masih ada dalam industri muzik.

“Pada masa sama, saya berbincang dengan Lan Solo untuk menghasilkan single. Ketika itu juga, saya baru teringat yang Zimie Sofazr pernah menawarkanlagu sebelum saya menyertai GV. Jadi, saya terus menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan lagu daripadanya.

“Namun, harga yang diberikan saya tidak mampu. Bagaimanapun, Zimie mencadangkan saya supaya cuba buat lagu sendiri dan dia bantu dari segi gubahan muzik. Saya beritahu nak muzik ala Latin, jadi Zimie berikan rentak dan saya terus dapatkan melodi. Kemudian dia minta saya buat lirik pula,” katanya.

Syura berkata, lirik Ego terus melekat dalam fikirannya ketika sedang mendengar demo lagu yang dihasilkan sendiri. Malah, lirik itu disiapkan dalam tempoh setengah jam saja.

“Semua proses ini berjalan ketika Ramadan lalu. Sejujurnya, saya teruja ketika kali pertama lagu ini disiapkan. Saya tidak menyangka boleh mencipta lagu. Malah, tidak pernah terfikir langsung untuk menambah cabang seni baru.

“Walaupun lagu ini mendapat pelbagai maklum balas, saya terima setiap komen dan teguran. Saya anggap ia proses untuk saya perbaiki diri. Cuma, janganlah hina dengan mengatakan ia lagu bodoh. Saya orang baru dalam bidang penciptaan lagu.

“Kalau betul tidak suka, tidak apa. Saya okey saja. Sekurang-kurangnya beri komen dan kata-kata nasihat lain dan bukannya menjatuhkan maruah saya. Saya masih perlukan bimbingan dalam bidang ini. Banyak lagi perlu saya pelajari,” katanya.

Tak suka dibandingkan dengan Siti Nordiana

Syura turut meluahkan rasa terkilan apabila netizen masih membanding-bandingkannya dengan Siti Nordiana.

“Memang betul saya dan Nana (Siti Nordiana) pernah berduet, tetapi janganlah sampai semua perkara nak kena banding. Selama ini saya cuba jadi diri sendiri. Malah, dalam video lirik lagu Ego, saya tampil moden pun orang bandingkan saya dengan Nana dan mengatakan rezeki tak berkat.

“Saya terfikir, apabila mereka bandingkan kami apa lagi yang saya boleh buat? Selama berada dalam industri muzik saya sudah buat semua. Sampai sekarang pun saya masih cari jalan untuk majukan diri supaya menjadi lebih baik.

“Jadi, saya berasakan tidak adil jika mahu terus membandingkan kami. Saya dan Nana memang berkawan, tetapi takkan semua perkara saya nak kena ikut dan sama dengannya. Kerja adalah kerja kerana saya ada cara tersendiri. Begitu juga dengan Nana,” katanya.

Menurut Syura, sebagai rakan yang sama-sama berjuang dengan Nana sejak di bangku sekolah, dia bangga dengan pencapaian diraih penyanyi itu.

“Apa jua yang saya dapat, segalanya adalah rezeki yang sudah tertulis. Apabila netizen nak terus bandingkan kami, saya jadi bengang. Nana sudah berada pada kedudukan lain, jadi berhenti bandingkan kami.

“Saya juga pernah cakap dengan Nana mengenai perkara ini, dia pun malas nak ambil tahu. Malah, dia juga pesan supaya jangan terlalu beri perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syura juga terbabit sebagai pelakon dalam penggambaran drama Cekelat Honey & Red Velvet.

Drama arahan Hadith Omar itu turut menampilkan Siti Nordiana, Fikry Ibrahim dan Zarul Husin yang akan ditayangkan di saluran Astro Citra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 7:30 AM