Nurul Fhatihah Zakinan


EXCO kerajaan negeri, Norhizam Hassan Baktee yang mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung isu video ‘naik suara’ terhadap penduduk Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, Melaka yang tular, semalam tampil membuat permohonan maaf, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu akhirnya mengakui kesilapannya yang bertindak mengikut emosi.

Norhizam berkata, dia sedar insiden yang tular di media sosial memberi imej negatif kepada dirinya sebagai wakil rakyat dan kerajaan yang diwakili.

“Sebagai ADUN, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk, terutama rakyat di kawasan saya.

“Justeru, saya memohon maaf terhadap kekasaran bahasa dan keterlanjuran kata pada kejadian semalam. Saya akan berusaha perbaiki kelemahan dalam aspek komunikasi apabila berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertemuan bersama kira-kira 10 penduduk Kampung Pulau Nibong anjuran DAP negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Pertemuan hampir sejam itu menyaksikan Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri dan penduduk saling memohon maaf dan bersalaman.

Turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Tey Kok Kiew, Setiausaha DAP negeri Khoo Poay Tiong dan wakil penduduk yang tular dalam video berkenaan, Md Derus Tompang, 58.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, DAP negeri turu kesal dan membuat permohonan maaf selepas mengakui cara serta pertuturan kasar oleh wakil rakyat terbabit.

“Saya menerima baik teguran serta nasihat disampaikan rakyat dan akan memperbaiki segala kelemahan (wakil rakyat) daripada parti kami (DAP),” katanya.

Katanya, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sudah diarah mengadakan perjumpaan semula bersama kira-kira 180 penduduk kampung dan taman perumahan terbabit bagi menyelesaikan isu penutupan jalan alternatif yang menjadi laluan penduduk secara baik.

Berita berkaitan

Maafkan kami, EXCO kurang pengalaman - Ketua Menteri

Netizen pakat kecam Norhizam

Penduduk 'serang' saya soalan panas bertubi-tubi - Norhizam

YB DAP bertegang urat leher ditegur penduduk

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 7:48 PM
NORHIZAM (dua dari kiri) bersalaman dengan wakil penduduk, Muhamat Umar (empat dari kiri) sambil diperhatikan Tey (tiga dari kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. FOTO/VIDEO Rasul Azli Samad
NORHIZAM (dua dari kiri) bersalaman dengan wakil penduduk, Muhamat Umar (empat dari kiri) sambil diperhatikan Tey (tiga dari kiri) di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. FOTO/VIDEO Rasul Azli Samad