Nur Aqidah Azizi dan Rizanizam Abdul Hamid


“SAYA tidak mahu salahkan sesiapa termasuk kerajaan kerana semua ini sudah suratan takdir,” kata Shahmiza Salleh, 32, isteri Adnan Othman, 33, anggota bomba yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lemas di lombong di Puchong, malam Rabu lalu.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia percaya suaminya ditugaskan dengan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak bomba.

“Tetapi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan dan saya reda dengan ketentuan Ilahi.

“Tak perlulah kita salahkan sesiapa dalam perkara ini, saya minta doakan suami dan rakan-rakannya mendapat syahid di sisi Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jaya Lukut, Port Dickson, hari ini.

Terdahulu, Shahmiza menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meluangkan kira-kira 30 minit bersama keluarganya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kelmarin dilaporkan berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan segera dan menjelaskan tragedi yang meragut nyawa enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam tragedi itu.

Menurut Mohd Asri, tragedi yang berlaku tidak boleh dianggap sebagai remeh kerana insiden memilukan itu meragut enam nyawa.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha mencari dan menyelamat remaja di kawasan lombong berkenaan

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota balai bomba dari Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari balai bomba Shah Alam adalah Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 11:37 AM
PORT DICKSON 06 OKTOBER 2018. Isteri mangsa, Nur Shamiza Salleh, 31 ketika ditemui dikediaman ahli keluarga suaminya di Taman Jaya Lukut, Port Dickson. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
PORT DICKSON 06 OKTOBER 2018. Isteri mangsa, Nur Shamiza Salleh, 31 ketika ditemui dikediaman ahli keluarga suaminya di Taman Jaya Lukut, Port Dickson. NSTP/HAZREEN MOHAMAD