Siti A'isyah Sukaimi dan Noor Atiqah Sulaiman


DATIN Seri Rosmah Mansor akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok selepas ditahan ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan menahan isteri bekas Perdana Menteri itu pada 3.20 petang.

Katanya, penahanan beliau dibuat berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas mendapat izin pendakwaan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, jam 8 pagi esok untuk pertuduhan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Rosmah tiba di bangunan ibu pejabat SPRM pada 10.42 pagi hari ini untuk memberi keterangan.

Beliau dilihat masuk ke perkarangan SPRM menaiki kenderaan Proton Perdana dan diiringi sebuah lagi kenderaan.

Selain itu, Rosmah yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi ibu pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan agensi berkenaan.

Rosmah hadir kali ketiga bagi memberi keterangan.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Tindakan memanggil beliau bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 5:16 PM