LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Zuliaty Zulkiffli

“KEJADIAN berlaku tak sampai lima minit sebelum bumbung di enam blok sekolah ini diterbangkan angin, " kata Pengetua Sekolah Menengah Keat Hwa, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Wong Ghee Hong.

Dalam kejadian 7.05 pagi tadi, kebanyakan pelajar dan guru sekolah terbabit baru tiba untuk memulakan sesi pembelajaran pagi ini sewaktu hujan lebat.

Wong berkata, sekolah itu mempunyai 2,100 pelajar dan 192 guru, namun hanya 1,000 pelajar bersekolah di sesi pagi ini, manakala selebihnya di sesi petang.

“Kejadian ribut ini menyebabkan lima pelajar cedera akibat terkena serpihan bumbung yang berterbangan dan mereka sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

“Saya dimaklumkan keadaan mereka setakat ini stabil namun kami akan sentiasa mengikuti perkembangan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih dalam perbincangan dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memutuskan sama ada sekolah akan ditutup buat sementara waktu atau sebaliknya.

Katanya, kejadian itu membabitkan enam blok iaitu A, B, C, D, E dan F, namun setakat ini kerosakan hanya membabitkan bahagian bumbung sahaja.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk masuk ke dalam kawasan sekolah gagal selepas tidak dibenarkan pihak pengurusan sekolah.

NSTP hari ini melaporkan lima pelajar perempuan Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Keat Hwa, Jalan Kuala Kedah masing-masing cedera di tangan, kepala dan badan selepas terkena serpihan bumbung yang berterbangan dalam kejadian ribut pagi tadi.

Berita berkaitan

Cedera terkena serpihan bumbung sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 11:21 AM