KETUA Seksyen Ruminan Jabatan Perkhdmatan Veterinar (JPV) Negeri, Engku Hashimi Syed Ahmad (kanan)  meneliti keadaan  fizikal kerbau kacukan lembu yang dipanggil Bambu di Kampung Tebakang, Bukit Payong. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
KETUA Seksyen Ruminan Jabatan Perkhdmatan Veterinar (JPV) Negeri, Engku Hashimi Syed Ahmad (kanan) meneliti keadaan fizikal kerbau kacukan lembu yang dipanggil Bambu di Kampung Tebakang, Bukit Payong. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: Ujian pengesahan melalui sampel darah perlu dijalankan bagi mengesahkan ‘identiti’ sebenar kerbau kacukan lembu yang diberi nama Bambu sama ada ia hasil gabungan dua haiwan itu atau bukan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan asas terhadap Bambu tetapi ia tidak boleh mengesahkan kesahihan kacukan seperti dakwaan penternak itu.

“Ujian secara klinikal di makmal perlu dijalankan bagi mendapatkan kepastian sama ada ia memang anak hasil gabungan dua haiwan itu atau bukan kerana jika mengikuti teori sains biologi, gabungan itu tidak boleh menghasilkan anak kerana berlainan kromosom.

“Kami merujuk kes ini dengan banyak pihak dan semua sumber yang dirujuk menafikan perkara ini boleh berlaku, malah mendedahkan ia tidak pernah berlaku. Sehubungan itu, hanya melalui ujian darah Bambu saja yang boleh mengesahkannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mengikut laporan yang diterima daripada pemiliknya, Bambu terhasil daripada gabungan dua ternakan iaitu induk jantan daripada lembu baka Charolais manakala betina pula kerbau albino.

Katanya, kedua-dua haiwan itu ditempatkan dalam satu kandang sebelum induk betina itu bunting.

Mohd Termizi berkata, selain Bambu, seekor lagi adiknya yang juga daripada induk jantan dan betina sama berusia setahun setengah juga akan diambil sampel darah untuk menjalani pemeriksaan pengesahan.

“Malangnya, induk jantan dan betina yang didakwa bapa dan ibu kepada Bambu disembelih pemilik untuk jualan dan tidak dapat menjalani pemeriksaan bagi menguatkan lagi hasil kajian dijalankan nanti.

“Sehingga kini, JPV tidak menafikan tetapi tidak juga mengesahkan. Berdasarkan pemerhatian kakitangan JPV yang membuat pemeriksaan asas terhadap Bambu, haiwan ini lebih kepada kerbau albino cuma bahagian matanya agak sepet dan kelihatan seperti lembu manakala bahagian lain ialah kerbau,” katanya.

Sementara itu, penternak, Mohd Firdaus Maidin, 19, berkata, Bambu kian menjadi perhatian sejak kisahnya dilaporkan di akhbar.

“Ramai penternak datang untuk melihat keunikan haiwan ini malah teruja kerana pertama kali melihat kerbau kacukan lembu,” katanya.

Harian Metro pada 15 September lalu melaporkan seorang penternak lembu dan kerbau di Kampung Tebakang, Bukit Payong, di sini mendakwa memiliki kerbau kacukan lembu yang berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:58 AM