DATUK Sia Boon Chee meninggal dunia di HUKM, hari ini.
DATUK Sia Boon Chee meninggal dunia di HUKM, hari ini.
Esther Landau


BEKAS pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pernah dianugerahkan Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-VII, Datuk Sia Boon Chee meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, hari ini.

Boon Chee, 65, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital terbabit akibat jangkitan.

Anak mendiang, Yiren Sia, 26, berkata, bapanya menghidap penyakit angin ahmar dan dirawat di hospital itu sejak lebih dua minggu lalu.

“Bapa dimasukkan ke hospital sejak 18 Ogos lalu dan terpaksa diberikan bantuan pernafasan sepanjang rawatan kerana keadaannya kritikal.

“Majlis pengebumian akan dilakukan di Kajang, Khamis ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini,

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Urus Setia Bahagian Hal-Ehwal Pesara PDRM) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shahron Anuar Abdul Latif ketika dihubungi, turut mengesahkan Boon Chee meninggal dunia, hari ini.

Boon Chee menghembuskan nafas terakhir di samping isterinya, Datin Chan Yoon serta anak tunggal mereka, Yiren Sia.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pemergian Boon Chee adalah kehilangan besar kepada negara.

“Bagi pihak PDRM, kami amat berbangga dapat melahirkan tokoh keselamatan yang memberi komitmen tinggi sepanjang beliau berkhidmat menjaga keamanan negara.

“Beliau memiliki sifat keberanian dan tidak pernah berbelah bahagi memberikan perkhidmatan kepada negara. Malah, beliau taat setia kepada pucuk pimpinan PDRM selain komited menjalankan tugas.

“Kehilangan beliau amat dirasai oleh seluruh warga PDRM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Boon Chee dianugerahkan Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-VII, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah.

Beliau yang juga bekas Timbalan Penguasa Polis (DSP) digeruni petualang negara terutama pengganas komunis.

Malah, beliau amat dikenali ketika masih berkhidmat di dalam Cawangan Khas kerana kecemerlangannya menjayakan beberapa siri operasi (Op) khas menentang dan menghapuskan kegiatan pengganas komunis terutama di Perak.

Antara Op khas yang pernah dijayakan beliau bersama rakan seperjuangannya dalam Cawangan Khas adalah 'Op Q' dan 'Op Keli' bermula dari 1981 hingga 1983 di dalam kawasan hutan di Perak.

Beliau antara individu yang bertungkus-lumus menyiasat, membuat risikan dan menahan 43 pengganas komunis, sekali gus menumpaskan kegiatan mereka di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 5:48 PM