Izlaily Nurul Ain Hussein


MAYAT seorang lagi remaja yang hilang di pantai Batu Layar dekat Bandar Penawar, Kota Tinggi, ditemui pada 2.20 petang hari ini.

Mayat Nor Rahimi Fithri Ismail, 19, ditemui kira-kira 1 kilometer dari Pos Hadapan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) iaitu hanya kira-kira 500 meter daripada mayat rakan baiknya, Mohammad Nor Hakimi Rejab, 18, ditemui pada 5.50 pagi hari ini.

Mayat Nor Rahimi Fithri yang berbaju merah ditemui terapung di tengah laut oleh pasukan penyelamat bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang membuat rondaan sekitar 2 petang.

Mayat remaja itu dicam ahli keluarga sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini untuk bedah siasat.

Sebelum ini, percutian enam sekeluarga dan tujuh sekawan di pantai Batu Layar bertukar tragedi apabila dua daripada lapan orang yang bermain bola pantai, hilang sebelum ditemui lemas.

Rahimi dan Hakimi bersama sembilan remaja lain bercuti di pantai berkenaan dari Johor Bahru, Ahad lalu, untuk berkhemah dan bermalam di kawasan berkenaan.

Mereka ditemani ibu saudara Rahimi, yang hanya mahu dikenali sebagai Jannah, 36, bersama suaminya.

Jannah berkata, pada malam Ahad lalu, mereka berbarbeku di kawasan itu selepas tiba dengan tiga kereta secara berperingkat antara 11 malam hingga 6 pagi, selain ada yang tidur di dalam kereta dan ada bermalam di dalam khemah.

“Kira-kira 8 pagi Isnin, adik kepada Rahimi datang mengetuk tingkap kereta saya dan meminta bantuan suami mencari Rahimi dan kawan baiknya yang lemas.

“Mereka turun ke pantai bermain bola pada 7.50 pagi, sebelum bola itu dibawa ombak ke tengah laut dan Hakimi dikatakan hendak pergi mengambil bola berkenaan walaupun dilarang, namun tidak lama kemudian dia dilihat terkapai-kapai.

“Rakan lain termasuk Hakimi cuba menyelamatkannya namun semuanya dikatakan hampir lemas selepas pegangan tangan mereka sesama kawan terlepas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Jannah, dia sekeluarga kerap bercuti di Batu Layar, namun tidak menyangka percutian kali ini yang dirancang sejak tiga hari sebelum kejadian berakhir tragedi.

“Saya bawa keluarga, anak saudara dan kawan dia ke sini kerana saya kerap bercuti di kawasan ini dan tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan Rahimi sebelum kejadian itu, Jannah berkata, Rahimi bertukar menjadi seorang yang pendiam, malah lebih banyak menyendiri.

Jannah turut berkongsi sikap pelik Rahimi yang mengira hari di status WhatsApp sejak bapanya, Ismail Awang, 41, meninggal dunia pada 3 Ogos lalu.

“Sejak abang saya iaitu ayah Rahimi meninggal dunia akibat kencing manis, 3 Ogos lalu, Rahimi akan mengemaskini status WhatsApp dia dengan menghitung hari.

“Saya pelik dan menganggap dia menghitung hari bapanya sudah meninggal dunia, tetapi apabila jadi begini, mungkin sebenarnya dia mengira hari pemergiannya juga,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Remaja ditemui lemas'

'Dua sekeluarga dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 4:07 PM
MAYAT Nor Rahimi Fithri ditemui kira-kira 1 kilometer dari Pos Hadapan SAR di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein.
MAYAT Nor Rahimi Fithri ditemui kira-kira 1 kilometer dari Pos Hadapan SAR di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein.