Petah Wazzan Iskandar


KEMATIAN pemilik dusun yang dikatakan dipijak gajah yang mengamuk di hutan berhampiran Kampung Kah Ing, Padang Sanai di sini semalam disifatkan sebagai kemalangan bukannya diserang haiwan terbabit.

Sumber PERHILITAN Putrajaya berkata, pihaknya menghantar sepasukan anggota untuk meninjau lokasi bagi membolehkan gambaran kejadian dan kesan serangan direkodkan.

Katanya, pihaknya menerima laporan bahawa pasukan yang dihantar sudah membuat lawatan sebanyak dua kali dalam tempoh empat jam bagi memastikan tiada pergerakan baharu gajah terbabit di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal, kita percaya gajah terbabit adalah jenis dewasa berdasarkan saiz tapak kaki iaitu 35.6 sentimeter (cm) namun jantina tidak dapat dipastikan kerana saksi kejadian tidak dapat memastikan jantina haiwan itu.

“Melalui pemeriksaan di kawasan sekitar lokasi kejadian, tiada tanda gajah terbabit kembali kerana tiada kesan baharu dan dipercayai sudah masuk kembali ke dalam hutan.

“Gajah itu dipercayai berkeliaran di kawasan berkenaan untuk makan berikutan terdapat banyak buah cempedak, rambutan dan dokong. Ini berdasarkan saki baki buah, pokok yang tumbang dan najis gajah.

“Kejadian ini dipercayai hanya satu kemalangan kerana mangsa parah di bahagian kanan muka dan tangan kanan... ini menunjukkan gajah terbabit terpijak mangsa sebelum melarikan diri ke dalam hutan...

“Jika serangan, sudah pasti mangsa lebih parah berikutan dipijak berkali-kali,” katanya yang ditemui NSTP di Kampung Kah Ing di Padang Terap, hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan pemilik dusun, Mat Juhid Osman, 49, dari Kampung Hulu, di sini maut akibat parah pada muka selepas dipijak gajah.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa bersama abangnya hendak pulang selepas berkebun sebelum terserempak dengan seekor gajah sebelum dipijak manakala abangnya berjaya menyelamatkan diri.

Ditanya sama ada serangan atau kemalangan membabitkan gajah kerap berlaku di negeri itu, Azmi berkata, sepanjang pengetahuannya yang bertugas sejak lapan tahun lalu di Kedah khususnya daerah ini, kejadian terbabit adalah yang pertama kali.

“Saya bertugas di sini sejak 2011, tiada rekod membabitkan haiwan terbabit menyerang manusia ataupun berlakunya kemalangan.

“Kejadian ini berkemungkinan gajah terbabit terkejut apabila terserempak dengan manusia di laluannya manakala mangsa pula gagal melarikan diri,” katanya.

Berita berkaitan:

Pekebun maut dihenyak gajah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 4:01 PM