KHAIRIL Aslan menjual durian bagi mendapatkan dana ekspedisi mendaki dan berbasikal di Gunung Stok Kangri, India.
KHAIRIL Aslan menjual durian bagi mendapatkan dana ekspedisi mendaki dan berbasikal di Gunung Stok Kangri, India.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menjual durian menerusi perkhidmatan penghantaran terus ke rumah antara usaha pendaki solo negara Khairil Aslan Ab Rasid, 43, untuk mencukupkan dana bagi menjayakan Ekspedisi Mendaki dan Berbasikal di India, sedang dirancang.

Khairil Aslan berkata, mengikut perancangan, dia memerlukan sekitar RM50,000 untuk menawan puncak Gunung Stok Kangri di Banjaran Stok, India dan menjelajah negara itu dengan berbasikal.

Katanya, dia bukan sekadar mahu mencari kepuasan sebaliknya menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara dengan cara tersendiri iaitu mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung berkenaan yang setinggi 6,153 meter dari aras laut.

Menurutnya, setakat ini, dia sudah mengumpul RM25,000 hasil jualan durian dan jika semua perancangan berjalan lancar Khairil Aslan, akan berlepas ke India 21 Ogos depan.

“Pengalaman memilih durian yang bagus diperoleh kerana saya memang sudah lama dalam bidang ini, malah sejak kecil saya kerap habiskan masa di dusun milik keluarga di Batu Kurau, Pahang.

“Berikutan saya ada sedikit kelebihan dan tahu cara nak pilih buah yang terbaik jadi kepakaran itu saya tawarkan dalam bentuk jualan dan perkhidmatan penghantaran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, antara ditawarkan adalah IOI King Himalaya, 144 Himalaya, 99 Himalaya dan Tangkai Curut.

Baginya dia mahu memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan pelanggan menikmati isi durian paling enak kerana mereka mengeluarkan belanja besar untuk membeli raja buah.

Bapa kepada empat enak itu memberitahu, pada sebelah pagi dia akan mendapatkan bekalan durian daripada peraih dan memulakan penghantaran bermula jam 4 petang hingga jam 11 malam.

“Keutamaan saya memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dengan menawarkan durian paling bagus pada harga berpatutan,” katanya.

Bekas jurutera itu berkata, mengikut perancangan dia akan memulakan ekspedisi berbasikal melalui jalan paling bahaya di Utara India iaitu Khardung La selepas misi menawan puncak gunung Stok tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:09 AM