NAGASAKI tinggal di pulau terpencil yang terletak di Okinawa, Jepun sejak 1989. FOTO Reuters
NAGASAKI tinggal di pulau terpencil yang terletak di Okinawa, Jepun sejak 1989. FOTO Reuters
Agensi

Tokyo: Hasrat seorang lelaki untuk meninggal dunia di sebuah pulau terpencil yang didiaminya seorang diri selama hampir 30 tahun tidak kesampaian selepas pihak berkuasa mengarahkannya berpindah.

Masafumi Nagasaki, 82, satu-satunya penduduk di pulau Sotobanari seluas tiga kilometer di wilayah Okinawa selepas dia berpindah ke kawasan itu dan meninggalkan kehidupan moden pada 1989.

Kisah Nagasaki mula disiarkan pada 2012 apabila beberapa pelancong menemuinya hidup seorang diri dan berjalan dalam keadaan bogel di pulau berkenaan.

Dalam satu wawancara, Nagasaki memberitahu, pada tahun-tahun awal tinggal di pulau itu pakaiannya diterbangkan taufan dan sejak itu dia hidup dalam keadaan bogel.

“Berjalan dalam keadaan bogel tidak sesuai dalam masyarakat moden tetapi di pulau ini ia sangat sesuai dan ia seperti pakaian seragam,” katanya.

Nagasaki menghabiskan masa setiap hari dengan berjemur, mencari makanan, membersihkan khemahnya dan mengelak daripada digigit serangga.

Dia juga menaiki bot ke sebuah pulau berhampiran untuk mendapatkan bekalan makanan menggunakan wang yang diberi keluarganya.

NAGASAKI menikmati makanan berhampiran khemah yang didirikan di pulau berkenaan. FOTO Reuters
NAGASAKI menikmati makanan berhampiran khemah yang didirikan di pulau berkenaan. FOTO Reuters

Nagasaki juga mahu mati di pulau itu walaupun mayatnya tidak dikebumikan.

“Mencari tempat untuk mati adalah satu perkara yang penting untuk dilakukan dan saya memutuskan di sini adalah tempat untuk saya mati,” katanya.

Bagaimanapun, hasrat Nagasaki itu kemungkinan tidak kesampaian apabila seorang pegawai kerajaan, Alvaro Cerezo memberitahu news.com.au, seseorang menemui lelaki berkenaan dalam keadaan lemah di pulau berkenaan.

Lelaki itu kemudian menghubungi polis dan Nagasaki dibawa ke sebuah rumah penjagaan di bandar Ishigaki yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pulau berkenaan.

Menurutnya, Nagasaki kemungkinan hanya demam tetapi pihak berkuasa memutuskan untuk tidak dibenarkan dia kembali ke pulau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 3:43 AM