DATUK Seri Shahidan Kassim. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Shahidan Kassim. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Mustakim Ramli


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa beliau diserang angin ahmar.

Shahidan berkata, beliau mengalami Guillain Barre Syndrome (GBS) atau penyakit gangguan saraf pada bahagian kaki dan bukannya angin ahmar seperti yang didakwa.

“Alhamdulilah keadaan saya makin baik. Malah boleh ke masjid untuk beriktikaf.

“Memang duduk di atas kerusi roda kerana kaki masih belum cukup kuat dan memerlukan saya menjalani fisioterapi serta mengurut,” katanya yang menghubungi NSTP di Kangar, hari ini.

Beliau mengakui masih aktif dalam program-program parti setiap malam dengan mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau.

“Seeloknya sebelum membuat kenyatan mengenai keadaan saya, boleh bertanya sendiri kepada saya, isteri atau ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang disiarkan hari ini apabila mendakwa Ahli Parlimen Arau itu diserang angin ahmar.

Sementara itu, Shahidan ketika ditanya mengenai lantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) bagaimanapun enggan mengulas panjang.

“Sebaiknya dilantik semua wakil rakyat Barisan Nasional (termasuk Datuk Ismail Kassim) menjadi EXCO kerana di Perlis, kita dibenarkan melantik sehingga 10 EXCO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 10:00 PM