PENDUDUK kampung turut datang sendiri membeli daun palas untuk dijual di sekitar pasar hari di sekitar Pokok Sena dan Kuala Nerang.
PENDUDUK kampung turut datang sendiri membeli daun palas untuk dijual di sekitar pasar hari di sekitar Pokok Sena dan Kuala Nerang.
MOHD Isa menyusun pucuk daun palas yang diikat kepada 100 pucuk sebelum dijual kepada pemborong di sekitar kawasan utara.
MOHD Isa menyusun pucuk daun palas yang diikat kepada 100 pucuk sebelum dijual kepada pemborong di sekitar kawasan utara.
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kegunaan daun palas untuk bungkusan ketupat di kawasan utara bagaikan satu kemestian tetapi pokok palas sukar diperoleh kerana tumbuh liar dalam hutan.

Bagaimanapun, Mohd Isa Ideris, 35, dari Kampung Pong Manis, Mukim Tekai Kanan di sini, menjadi pembekal utama daun palas di kawasan utara berikutan pohon itu tumbuh di kawasan kebun getahnya seluas lima hektar.

Menurutnya, pokok itu atau nama santifiknya licuala grandis hanya tumbuh beberapa pokok saja di kebun getahnya yang terletak tiga kilometer dari rumahnya tetapi semakin banyak terutama selepas bapanya, Ideris Malik, 62, menabur biji buah pokok itu di sekitar kebun.

“Ia tumbuh dengan banyak antara pokok getah yang kini dianggarkan terdapat ribuan pokok palas di kebun ini.

“Menariknya pokok ini tidak memerlukan penjagaan rapi asalkan berada di kawasan lembap seperti di kebun getah.

“Alhamdulillah setiap kali hari raya saya membekalkan 10,000 pucuk daun palas di negeri ini termasuk Perlis dan Pulau Pinang,” katanya yang juga seorang penoreh getah.

Bercerita lanjut, Mohd Isa berkata, setiap pucuk daun palas itu dijual antara 80 sen hingga RM1 bergantung kepada saiz.

Katanya, daun palas yang lebih dikenali sebagai daun palas minyak itu ada kelebihan tersendiri iaitu lebih lebar, nipis, mudah dibentuk selain tidak mudah pecah menjadikannya sentiasa mendapat sambutan.

“Dulu ia dijual murah tidak sampai 40 sen sepucuk namun sejak enam tahun lalu harganya naik berikutan pokoknya semakin sukar ditemui.

“Saya bersyukur kerana bapa saya meluaskan tanaman ini di kebun getah kami, malah ia menjadi pendapatan sampingan saya terutama Aidilfitri.

“Pada musim perayaan ini saya berhenti menoreh getah bagi memberi tumpuan mengambil daun palas.

“Pendapatan sebagai penoreh getah hanya cukup makan iaitu kira-kira RM500 sebulan, dengan adanya bekalan daun palas dapatlah saya dan keluarga menampung perbelanjaan untuk menyambut hari raya dengan lebih meriah,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Mohd Isa berkata, selain musim perayaan dia turut menerima tempahan bagi membekalkan daun itu dengan tempahan melebihi 200 pucuk sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 8:20 AM