DI kawasan apartmen inilah Heather Webb diharamkan menyanyi kerana suaranya yang sumbang mengganggu jiran. FOTO Google Street View
DI kawasan apartmen inilah Heather Webb diharamkan menyanyi kerana suaranya yang sumbang mengganggu jiran. FOTO Google Street View
Daily Mail

London: Seorang wanita diharamkan menyanyi di apartmen miliknya oleh Mahkamah Majistret Norwich selepas jirannya membuat aduan bahawa suaranya kedengaran seperti ‘seekor kucing lemas’.

Berdasarkan Perintah Tingkah Laku Jenayah yang dikeluarkan terhadap Heather Webb, 48, dia turut diharamkan bermain muzik, menyanyi, menjerit atau membuat bising sehingga boleh didengar dari luar rumah.

Jirannya, Paul Burford yang tinggal kira-kira 40 meter dari rumah Heather di blok sama memberitahu, dia terdengar suara nyanyian opera pada pagi 7 Februari lalu.

Dia turut merakam suara nyanyian terbabit menggunakan telefon bimbit dan menghantarnya kepada ahli majlis perbandaran sambil berkata: “Secara jujurnya, suara wanita itu kedengaran seperti kucing lemas.”

Seorang lagi jirannya yang tinggal di tingkat atas turut terpinga-pinga selepas mendengar nyanyian wanita terbabit ketika menonton televisyen dengan fon telinga, 8 Januari lalu.

“Sebaik terdengar suara itu, saya mencabut fon telinga dan cuba melihat dari mana datangnya bunyi bising itu. Selepas itu baru saya tahu, bunyi itu datang dari rumah wanita terbabit,” katanya.

Gangguan itu dikatakan berlaku sejak empat tahun lalu apabila jirannya mengisi borang kelakuan antisosial dan menghantarnya kepada ahli majlis perbandaran.

Polis turut masuk campur pada 2014 selepas ahli majlis mengeluarkan Amaran Perlindungan Penduduk kepada Heather selain menasihatkan jiran lain menghubungi talian 101 sekiranya masih diganggu.

Penduduk membuat aduan pada 2016 namun ahli majlis memberitahu, tiada tindakan diambil terhadap wanita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 8:35 AM