Oleh Mohd Hilmie Hussin


JENAZAH Mohamad Saiful Ashnar, 31, juruelektrik kapal MV Ocean Geos yang terbakar di perairan Kuala Baram, Miri, Sarawak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Merbau, Jasin, 10.15 malam tadi.

Jenazah Allahyarham diiringi kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Terdahulu, jenazah Mohamad Saiful yang dibawa pulang dari Sarawak oleh abang sulungnya, Mohd Asmawi Ashnar, 33, bersama sepupu, Harith Daniel Abdullah, 40, dan Muhammad Ariffin Osoman, 40, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.30 petang.

Jenazah Allahyarham yang mesra dengan panggilan Epol, dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Asia Selatan pada jam 8.45 malam disambut kira-kira 400 orang, termasuk saudara-mara dan rakan.

Selepas kira-kira 20 minit di rumah, jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Marbawi Ayer Merbau untuk solat jenazah, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Merbau.

Dalam kejadian 3 pagi Selasa lalu, 38 kru kapal terbabit terjun ke laut bergelora untuk menyelamatkan diri, tetapi Mohamad Saiful gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hingga mayatnya dijumpai di dalam kapal terbabit jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Mohamad Saiful meninggalkan isteri, Khairul Dalila Ahmad Ridzuan dan dua anak, Mohamad Syafi Khalish, 3, dan Nur Safiya Kaysa berusia dua bulan.

Berita berkaitan

'Abah pilu kenang Epol’/a>

'[UPDATE] Semoga roh Epol dicucuri rahmat'

'[UPDATE] Dah jumpa Mohamad Saiful [METROTV]'

'[UPDATE] Cari Mohamad Saiful dalam 'perut' kapal'

'[UPDATE] 1 hilang, 2 cedera, 36 selamat [METROTV]'

'Kapal Ocean Geos terbakar'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 11:27 PM
SAHABAT handai dan ahli keluarga mengusung jenazah Mohd Saiful setibanya di rumah keluarga di Taman Asia Selatan untuk dikebumikan. Muhammad Zuhairi Zuber
SAHABAT handai dan ahli keluarga mengusung jenazah Mohd Saiful setibanya di rumah keluarga di Taman Asia Selatan untuk dikebumikan. Muhammad Zuhairi Zuber