MIRI 18 APRIL 2018. Operasi pembersihan sisa kebakaran masih dijalankan keatas kapal sokongan cari gali minyak MV Ocean Geos yang terbakar dalam kejadian di perairan Baram, Miri. NSTP/IHSAN APMM
MIRI 18 APRIL 2018. Operasi pembersihan sisa kebakaran masih dijalankan keatas kapal sokongan cari gali minyak MV Ocean Geos yang terbakar dalam kejadian di perairan Baram, Miri. NSTP/IHSAN APMM
Mohd Firdaus Ibrahim dan Siti Khairunnisa Mohamad Nayan


“Allah lebih sayangkan dia. Dia seorang adik dan anak yang baik. Kami pasti merinduinya,” kata Mohd Asmawi Ashnar, 33, abang kepada Mohamad Saiful Ashnar, 31.

Mohamad Saiful yang juga juruelektrik di Kapal MV Ocean Geos sebelum ini hilang selepas kapal sokongan cari gali minyak itu terbakar di perairan Kuala Baram, Miri, 3 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, 38 kru kapal terbabit terjun ke laut bergelora untuk menyelamatkan diri tetapi Mohamad Saiful yang mesra dengan panggilan Epol gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hingga mayatnya dijumpai di dalam kapal terbabit, 1 tengah hari tadi.

Mohd Asmawi yang terbang ke Miri bersama sepupunya, Harith Daniel Abdullah, 40, dan Muhammad Ariffin Osoman, 40, semalam berkata, keluarganya reda dengan ketentuan Tuhan dan berdoa supaya urusan membawa pulang jenazah ke kampung mereka di Jasin, Melaka kemungkinan esok dipermudahkan.

Diminta mengulas mengenai kejadian berkenaan, Mohd Asmawi yang juga kapten kapal syarikat perkapalan sejak 10 tahun lalu berkata, dia dimaklumkan sebelum kapal tempat kerja adiknya terbakar bekalan elektrik terputus.

“Sebagai juruelektrik, tentu dia berusaha membaikinya sebelum kebakaran berlaku. Saya dimaklumkan jenazahnya ditemui berhampiran kawasan bilik enjin berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Mohamad Saiful, Masni Ros Pakir Mohamad, 54, yang juga Penyunting Eksekutif NSTP berkata, Allahyarham seorang yang periang dan komited dalam tugas.

“Dia suka bergurau dan memudahkan kerja serta urusan orang lain. Kalau bercuti, dia menguruskan ayahnya yang sakit angin ahmar.

“Dia juga sering mengumpulkan ahli keluarga dengan mengadakan kenduri untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Moga Allah tempatkan dia di kalangan orang beriman,” katanya.

Mohamad Saiful meninggalkan isteri, Khairul Dalila Ahmad Ridzuan dan dua anak, Mohamad Syafi Khalish, 3, dan Nur Safiya Kaysa berusia dua bulan.

Berita berkaitan:

Dah jumpa Mohamad Saiful [METROTV]

Cari Mohamad Saiful dalam 'perut' kapal

1 hilang, 2 cedera, 36 selamat [METROTV]

Kapal Ocean Geos terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 11:18 PM