DR Masliza Mahmod. FOTO Zaharah Othman
DR Masliza Mahmod. FOTO Zaharah Othman
Zaharah Othman


SAINTIS Malaysia yang berpangkalan di Universiti Oxford, London Dr Masliza Mahmod menerajui kajian perintis bagi mengurangkan lemak berlebihan dan toksik di jantung dikenali sebagai ‘cardiac steatosis’.

Menerusi penggunaan dadah pemecah lemak, Dr Masliza berkata, pasukannya menerima peruntukkan £290,000 (RM1.6 juta) daripada Yayasan Jantung British (BHF) bagi menjalankan kajian perintis selama enam bulan dalam meningkatkan kualiti rawatan untuk penghidap ‘aortic stenosis’.

“Aortic stenosis adalah keadaan apabila bukaan injap salur jantung mengecil sehingga menyebabkan aliran darah tersekat. Ini menyebabkan otot jantung terpaksa mengembang dan mengecut lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan.

“Sekatan salur jantung yang teruk boleh mencetuskan beberapa petanda awal seperti sakit dada, sukar bernafas dan pengsan, selain berupaya menyebabkan jantung gagal berfungsi.

“Kajian terdahulu menunjukkan penghidap aortic stenosis mempunyai lemak terkumpul berlebihan di otot jantung atau lebih dikenali sebagai cardiac steatosis. Ia toksik kepada otot jantung dan berupaya merencatkan fungsi jantung,” katanya.

Kajian membabitkan 60 penyelidik dari beberapa hospital di Oxford akan meneliti sama ada fibrate iaitu dadah yang biasa digunakan untuk merawat kandungan lemak berlebihan dalam darah, berupaya mengurangkan lemak berlebihan di jantung dan meningkatkan fungsinya.

Dr Masliza yang juga pensyarah di Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal Oxford (OCMR) berkata, beberapa pesakit akan diberikan rawatan menggunakan fibrate atau placebo secara rawak.

Katanya, pemeriksaan MRI akan digunakan bagi mengukur lemak tepu di otot jantung dan fungsinya, selain melaksanakan penilaian kesihatan sebelum dan selepas enam bulan pesakit diberikan rawatan.

“Hasil kajian ini akan membantu kita merangka pelan pada masa depan untuk mengenal pasti sama ada dadah jenis fibrate boleh meningkatkan kesihatan penghidap aortic stenosis.

“Jika kita boleh buktikan bahawa dadah ini berkesan dalam meningkatkan kemampuan jantung mengepam darah ke seluruh badan selepas menghidap aortic stenosis, doktor boleh membantu menangani penyakit berkenaan menerusi pemberian ubat berkaitan.

“Kajian ini adalah langkah pertama untuk menentukan sama ada dadah yang biasa digunakan untuk merawat kandungan lemak berlebihan dalam darah berupaya meningkatkan fungsi hati bagi pesakit aortic stenosis,” katanya.

Bermastautin di United Kingdom sejak 2001, Dr Masliza berkata, kajian terdahulunya membawa kepada penemuan masalah pengumpulan berlebihan dalam otot jantung pesakit aortic stenosis.

Justeru, katanya, kajian terperinci perlu dilaksana menggunakan geran daripada BHF supaya pakar perubatan boleh memahami secara lanjut mengenai penyakit berkenaan.

“Permohonan kajian berkenaan dinilai oleh barisan panel luar yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Kita mendapat kelulusan kerana ia kajian saintifik baru dan mempunyai kepentingan terhadap penyelidikan dan klinikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 5:07 PM