Kalidevi Mogan Kumarappa


USAHA murni seorang jurutera awam mencarikan pemilik baru untuk seekor anjing terbiar di sebuah kediaman berhampiran rumahnya di Sungai Ramal, Kajang menerima maklum balas amat positif daripada netizen.

Nur Ameera Zainuddin, 27, berkata selepas kisahnya yang memberikan makanan dan menjaga anjing berkenaan yang dinamakan Tony, disiarkan Harian Metro ramai pencinta haiwan tanpa mengira bangsa menghubunginya menerusi Twitter.

Katanya, antara individu yang serius untuk menjaga anjing itu adalah seorang lelaki India menetap di Damansara yang sanggup datang berjumpanya pada 2 petang tadi, semata-mata untuk melihat sendiri keadaan terkini haiwan berkenaan.

“Namun, kehadiran lelaki terbabit tidak disenangi haiwan berkenaan. Ketika lelaki itu mahu pasang tali di leher, Tony melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

“Tony mungkin tak percayakan orang asing, malah abang yang kerap memberinya makan juga sukar untuk menghampirinya. Sekarang ini saya harap ada individu benar-benar dapat jaga dan menyayangi Tony,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia kini giat mencari pemilik baru untuk anjing itu, namun masih tiada sesiapa mampu mendekati Tony, dan haiwan berkenaan hanya akan mendekati dirinya jika dipanggil.

Nur Ameera mula memberi makan kepada anjing itu yang dipercayai sudah lama ditinggalkan pemilik asalnya sejak tiga minggu lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nur Ameera, tersentuh melihat anjing itu yang mengejar kereta yang lalu-lalang di depan rumah tuannya sambil menjelirkan lidah seolah-olah haiwan itu amat dahaga dan lapar.

“Sejak kecil Tony diberi makan oleh pemiliknya, jadi mungkin dia tak pandai cari makanan sendiri seperti anjing liar. Pada mulanya saya mengaku memang saya rasa takut untuk mendekatinya kerana risau dia bertindak ganas, namun apabila sudah memberi makan padanya setiap hari, saya semakin berani.

“Namun kini saya risau kerana anjing itu sudah menganggap saya sebagai tuannya dan ingin mendekati saya, tetapi saya menjauhkan diri saya supaya tidak bersentuhan dengannya.

“Saya masih menjaga batasan daripada aspek agama dalam memberi makanan kepada anjing itu, malah dia seakan-akan memahami apabila saya menjauhinya kerana akan terus berhenti daripada menghampiri saya,” katanya.

Berita berkaitan

Mulianya hatimu Nur Ameera

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 9:06 PM
TONY sukar untuk didekati orang lain.
TONY sukar untuk didekati orang lain.