ZULAIKHA membawa biawaknya berjalan-jalan (kiri). Gambar kanan, labah-labah tarantula merayap di lengan Zulaikha. FOTO NSTP
ZULAIKHA membawa biawaknya berjalan-jalan (kiri). Gambar kanan, labah-labah tarantula merayap di lengan Zulaikha. FOTO NSTP
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Melihat perwatakannya yang lemah lembut dan sopan mungkin ramai tidak menyangka gadis ini sebenarnya meminati haiwan eksotik.

Paling mengagumkan, gadis ini menyimpan 26 jenis ular termasuk ular tedung selar dan pelbagai haiwan eksotik serta burung di belakang rumahnya.

Menceritakan mengenai minatnya, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak, Dewi Zulaikha, 22, berkata, hobinya bermula ketika usianya 17 tahun dan dia langsung tidak geli ketika memegang haiwan eksotik terbabit.

Katanya, bermula sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, dia semakin serius dan mengambil keputusan menambah jumlah haiwan eksotik yang dipelihara sebagai koleksi.

“Ada yang saya tangkap sendiri, selain diberikan individu tertentu. Semua haiwan terbabit ditempatkan di tempat khas di belakang rumah saya.

“Antara haiwan yang dipelihara adalah iguana, musang, landak, burung, arnab dan labah-labah tarantula. Itu tidak termasuk koleksi ular.

“Anggaran setakat ini haiwan yang saya pelihara lebih 40 jenis.

“Ular tedung selar adalah reptilia paling besar dalam koleksi dan ukurannya yang kini sudah mencapai empat meter.

“Sebagai peminat haiwan eksotik saya juga pernah dipatuk ular, tapi kecederaan yang dialami tak serius kerana bisa reptilia itu sudah dibuang,” katanya.

ZULAIKHA mengucup ular tedung selar. FOTO NSTP
ZULAIKHA mengucup ular tedung selar. FOTO NSTP

Menurutnya, dia sentiasa belajar dan merujuk pelbagai sumber termasuk mengamalkan petua orang lama mengenai cara menjaga haiwan eksotik.

Gadis terbabit yang kini menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang menjadi popular apabila gambarnya memegang ular dan biawak tular di media sosial.

Jururawat di pusat perubatan swasta di Pulau Pinang itu berkata, gambar terbabit mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk ada yang mengecamnya namun komen negatif langsung tidak menjejaskan fokusnya kepada hobi unik itu.

“Biawak dalam gambar itu saya namakan Kenit, haiwan itu saya jumpa di belakang rumah Julai tahun lalu dan saya membawanya pulang untuk diberi rawatan kerana dia mengalami kecederaan.

“Saya menggunakan pengalaman sebagai jururawat merawat luka atau kecederaan yang dialami mana-mana haiwan dalam jagaan saya,” katanya.

Tambahnya, dia mahu tampil dengan imej positif mendidik masyarakat terutama golongan muda supaya cintakan haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 5:26 AM