NORHIJAH bersama anaknya, Muhammad Aqkheer Al’Aerieq ketika ditemui di HKL.
NORHIJAH bersama anaknya, Muhammad Aqkheer Al’Aerieq ketika ditemui di HKL.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: “Saya hanya mampu mengalirkan air mata dan tidak dapat menerima kenyataan setiap kali anak saya dimaklumkan sudah tidak bernafas ketika menerima rawatan,” kata Norhijah Abd Samad, 36.

Ibu kepada pesakit Histiocytic Sel Langerhans (LCH), Muhammad Aqkheer Al’Aerieq Mohd Nazib, 20 bulan berkata, kejadian itu berlaku empat kali pada Disember 2016 dan masing-masing pada Mac, Jun dan Ogos tahun lalu.

“Ketika itu, hanya Allah yang tahu bagaimana remuknya hati ini.

“Saya kuatkan hati dan terus berdoa kepada Allah SWT supaya memanjangkan usianya dan ternyata doa itu termakbul kerana dia masih hidup serta terus membesar sama seperti kanak-kanak seusianya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian pertama dan kedua, nafas anaknya yang ketika itu belum disahkan penyakitnya terhenti seketika.

“Paling menyedihkan dalam kejadian ketiga apabila anak saya yang ketika itu disahkan menghidap Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) dimasukkan ke unit rawatan rapi selama tiga minggu dan tidak sedarkan diri hingga doktor memaklumkan dia sudah tiada.

“Keadaan bertambah buruk apabila dua bulan selepas itu, doktor mengesahkan dia sebenarnya menghidap penyakit LCH dan pernah seketika nafasnya terhenti,” katanya.

Bercerita berkenaan penyakit HLH, Norhijah berkata, Aqkheer antara sembilan individu di Malaysia yang menghidap HLH iaitu penyakit jarang ditemui berkaitan imunisasi.

Pesakit HLH dikenal pasti mempunyai sel imunisasi yang gagal berfungsi dengan baik hingga menjadikan sel itu terlalu aktif dan berlaku banyak keradangan dalam tubuh.

Norhijah yang berasal dari Banting berkata, HKL kini menjadi ‘rumah’ pertamanya kerana anak perlu menjalani kemoterapi untuk penyakit LCH setiap minggu.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB milik Norhijah, 7007208178.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 7:19 AM