V SHEM-Wee Kiong memenangi tempat pertama acara beregu lelaki pada kejohanan badminton Celcom Axiata National Championships 2018, kelmarin. FOTO Eizairi Shamsudin
V SHEM-Wee Kiong memenangi tempat pertama acara beregu lelaki pada kejohanan badminton Celcom Axiata National Championships 2018, kelmarin. FOTO Eizairi Shamsudin
Fabian Peter

Kuala Lumpur: Gandingan beregu nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengakui ‘menyimpan taring’ di Kejohanan Kebangsaan dan meletakkan sasaran untuk kembali bangkit di Terbuka Jerman, minggu depan dan All England, selepas itu.

Di pentas final Kejohanan Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin, bekas beregu nombor satu dunia itu menjuarai gelaran kebangsaan sulung mereka, tetapi terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan.

Bertemu pemain profesional, Mohd Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub, pemenang pingat perak Olimpik Rio itu diheret untuk beraksi dalam pertarungan tiga set sebelum menang 21-17, 19-21, 21-15.

Ketika ditanya adakah mereka sengaja menampilkan prestasi di bawah kemampuan sebenar ketika perlawanan itu bagi memberikan yang terbaik di kejohanan Eropah, Wee Kiong berkata, ia antara satu daripada sebabnya.

“Ia sudah tentu satu daripada alasan mengapa kami tidak benar-benar memaksa diri,” katanya.

“Kami berharap dapat mencatatkan keputusan lebih baik daripada penampilan sebelum ini apabila mara ke suku akhir All England tahun lalu.

“Begitupun, yang pertama di Terbuka Jerman,” katanya yang tewas pada peringkat lapan terbaik All England tahun lalu kepada gandingan China, Li Junhui-Liu Yuchen dengan aksi straight set.

Sejak memenangi Siri Terbuka Final di Dubai pada 2016, V Shem-Wee Kiong mengalami penurunan prestasi yang mendadak dan gagal mencipta sebarang impak pada 2017.

Berikutan itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memisahkan mereka pada September, tetapi kembali digandingkan bagi menguatkan pasukan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Komanewel di Gold Cost bulan depan dan Piala Thomas pada Mei serta Sukan Asia di Indonesia pada Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:30 AM