Nurul Hidayah Bahaudin


TANDA tanya menyelubungi kes kematian jurugambar bebas apabila mayatnya ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi keretanya terbabit kemalangan, hari ini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa dikenali sebagai Shafiq, 33, ditemui terbaring di belakang pondok menunggu bas berdekatan Sekolah Rendah Agama Sri Kantan 3 di Kajang, pada 7.30 pagi.

Kenalan rapat mangsa yang enggan dikenali berkata, ahli keluarga Shafiq sebelum itu dimaklumkan berhubung penemuan Perodua Myvi milik mangsa kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Desa Sri Jenaris.

Bagaimanapun, pemeriksaan ahli keluarga mendapati mangsa tiada di dalam kenderaan yang remuk pada bahagian hadapan akibat kemalangan itu.

“Ahli keluarganya cuba mencari Shafiq di sekitar kawasan itu, namun gagal menemuinya.

“Kira-kira jam 8 pagi, ahli keluarganya dimaklumkan penemuan mayat Shafiq di belakang pondok menunggu bas berhampiran sekolah agama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kajang.

Katanya, ada pihak mendakwa menemui Shafiq dalam keadaan tersandar di pondok menunggu bas pada 5.30.

“Berdasarkan keadaan kereta mangsa yang remuk teruk di bahagian hadapan, mustahil dia boleh berjalan kaki ke perhentian bas berkenaan sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian.

“Apatah lagi jarak ke rumahnya lebih hampir berbanding lokasi kejadian. Kami pelik kenapa Shafiq berada di situ padahal dia boleh pulang terus ke rumahnya untuk meminta pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, mangsa ditemui dalam keadaan telentang dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

“Ada saksi melalui Jalan Desa Sri Jenaris melihat kereta mangsa terbabas dan melanggar kaki lima perhentian bas di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, siasatan di perhentian bas di Desa Sri Jenaris menemui kesan petrol tumpah dan kesan perlanggaran di kaki lima lokasi kejadian.

“Kami mendapati bampar hadapan kereta mangsa tercabut dan kedua-dua beg udara di bahagian pemandu dan penumpang turut terbuka sebelum kenderaan lelaki itu dibawa ke rumahnya.

“Jarak tempat kemalangan ke lokasi mayatnya ditemui dianggarkan kira-kira empat kilometer,” katanya.

Katanya, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada kesan kecederaan akibat unsur jenayah.

“Hanya ada luka kecil di kedua-dua lututnya dan mayat dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga mendapat keputusan bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 11:00 PM
KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Desa Sri Jenaris, Kajang, hari ini.
KEADAAN kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Desa Sri Jenaris, Kajang, hari ini.