ANTARA produk kopi tiruan yang membahayakan kesihatan peminumnya. FOTO Saddm Yusoff
ANTARA produk kopi tiruan yang membahayakan kesihatan peminumnya. FOTO Saddm Yusoff
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nur Afiradina Arshad

Kuala Lumpur: Sindiket menjual kopi perangsang seks diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan mengubah modus operandi dengan menjadi saluran media sosial untuk memasarkan kopi maut berkenaan.

Berbanding sebelum ini, sindiket dilihat lebih gemar menjadikan kedai runcit, premis menjual ubat-ubatan tradisional dan restoran sebagai lokasi menjual kopi campuran kimia terlarang itu secara terbuka.

Timbalan Pengarah Cawangan Farmasi Forensik KKM Mazlan Ismail berkata, pihaknya menyedari modus operandi terbaru itu yang giat menggunakan laman media sosial bagi memasarkan kopi mengandungi kimia analog sildenafil atau taladafil itu.

Menurutnya, melalui pemantauan dilakukan pakar di makmal Cawangan Farmasi Forensik, sindiket cuba mengaburi kegiatan melalui perniagaan dalam talian.

“Kebiasaannya mereka menggunakan pelbagai dakwaan kononnya kopi dijual mampu meningkatkan kesihatan, menambah nafsu makan, mengatasi masalah mati pucuk dan sebagainya.

“Mungkin mereka sudah serik apabila kilang dan produk haram dijual kerap dirampas pegawai Bahagian PenguatKuasa Farmasi (BPF) KKM menyebabkan penjualan melalui dalam talian dianggap lebih selamat.

“Sindiket biasanya akan membuat penghantaran melalui pos sebaik menerima tempahan dan bayaran daripada pelanggan. Malah dalam beberapa kes, mereka turut membuat penghantaran hingga ke luar negara menggunakan khidmat kurier,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya turut mengumpul data dan melakukan siasatan berhubung aktiviti itu berdasarkan aduan awam selain risikan dilakukan pegawainya berhubung aktiviti jenayah ini.

“Kami turut bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), makmal Polis Diraja Malaysia (PDRM), Siber Sekuriti dan pelbagai agensi lain untuk membenteras kegiatan haram itu.

“Mereka mungkin menyangka cukup licik dan sukar dijejaki. Namun pakar jenayah siber di Cawangan Farmasi Forensik ini mampu menjejaki lokasi selain mengumpul bukti untuk pendakwaan di mahkamah.

“Kami bekerjasama dengan BPF bagi memastikan dalang sindiket tidak terlepas dari tindakan undang-undang melalui maklumat dikumpulkan termasuk dengan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan,” katanya.

Mazlan berkata, setakat ini sudah ramai peniaga dalam talian dan ahli sindiket ini didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman mengikut Akta Racun 1952 membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, penjualan kopi campuran kimia terlarang ini sama bahaya dengan produk ubat-ubatan tidak berdaftar diseludup dari luar negara yang boleh memberi kesan kepada kesihatan.

“Seperti sedia maklum, kimia sildenafil dan taladafil yang digunakan tanpa pengawasan doktor bertauliah boleh menyebabkan individu yang memakannya diserang sakit jantung mendadak selain pelbagai kesan buruk antaranya tekanan darah rendah, kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 6:43 AM