Shamsul Munir Safini


BAYI perempuan berusia 47 hari maut dipercayai akibat didera di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 10.45 pagi, mangsa dilihat tidak sedarkan diri oleh bapanya, 22, ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bayi berkenaan mengalami menghidap penyakit kuning apabila dilahirkan, tetapi sembuh dalam masa dua minggu.

"Kelmarin, mangsa hanya minum sedikit susu dan terus tidak mahu minum.

“Bapanya juga mendapati anaknya semakin lemah lalu membawanya ke sebuah klinik pakar kanak-kanak di Sungai Rambai, Bukit Mertajam,” katanya.

Menurutnya, doktor memberitahu denyutan jantung bayi semakin lemah dan menyuruhnya membawa mangsa ke hospital.

"Dalam perjalanan ke hospital bapa mangsa mendapati tiada pergerakan pada badan anaknya.

"Dia dan isterinya kemudian membawa bayi berkenaan ke klinik itu semula sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

NIK Ros Azhan. FOTO arkib NSTP
NIK Ros Azhan. FOTO arkib NSTP

Nik Ros Azhan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan hasil pemeriksaan X-ray mendapati terdapat kesan kecederaan dalaman pada peha serta badan bayi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan terdapat kesan patah pada kaki bayi terbabit kerana perlu menunggu laporan bedah siasat.

"Bedah siasat mangsa dijangka dilakukan jam 10 pagi esok dan polis sudah mengambil keterangan daripada ibu dan bapa mangsa serta akan mendapatkan keterangan dariapda pegawai perubatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:33 PM