MOHD Shahrizal bersama ibu saudaranya, Siti Rosmaliza (kanan) dan adiknya,  Nor Shafikah menunjukkan foto bersama arwah ibu mereka. FOTO Farizul Hafiz Awang
MOHD Shahrizal bersama ibu saudaranya, Siti Rosmaliza (kanan) dan adiknya, Nor Shafikah menunjukkan foto bersama arwah ibu mereka. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Tiga beradik, Mohd Shahrizal Asrul Affandi, 15, Nor Shahirah, 14, dan Nor Shafikah, 11, hilang tempat bergantung selepas kematian ibu bapa mereka akibat penyakit jangkitan kuman. Bagaimanapun, kemuliaan hati ibu saudara mereka, Siti Rosmaliza Samsudin, 24, yang sanggup mengambil tanggung jawab memelihara dan menjaga mereka sejak setahun lalu, membolehkan anak yatim piatu itu mempunyai tempat untuk bergantung harap.

Mohd Shahrizal berkata, bapa mereka, Asrul Affandi Jusoh meninggal dunia tujuh tahun lalu ketika dia berusia enam tahun manakala ibunya, Siti Normah Samsudin menghembuskan nafas terakhir tahun lalu.

“Selepas ibu meninggal dunia, kami seolah-olah putus harapan...siapa hendak jaga kami? Kemudian ibu saudara dengan rela hati tawar diri untuk mengambil tanggungjawab itu.

“Dia sanggup berkorban masa dan wang demi membesarkan kami tiga beradik walaupun hanya bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak.

“Saya tidak sampai hati lihat ibu saudara bekerja keras seorang diri untuk besarkan kami, jadi saya ambil inisiatif untuk bantu dia dengan berniaga sate ikan selepas waktu sekolah,” katanya ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Chengal Lempong di sini.

Mohd Shahrizal berkata, wang hasil keuntungan menjual sate ikan antara RM20 dan RM40 sehari digunakannya untuk membantu persekolahan mereka selain perbelanjaaan harian keluarga.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah itu diminta ibu saudaranya untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran kerana akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada Oktober ini.

“Saya agak terkilan kerana tidak dapat membantu ibu saudara mencari pendapatan tambahan (menjual sate ikan), tetapi kami bersyukur kerana masih ada jiran terdekat yang sukarela membantu daripada pelbaga sudut.

“Janji kami sekeluarga cukup makan dan minum saya sudah bersyukur. Saya berterima kasih kepada ibu saudara kami kerana dia sanggup mengambil tanggungjawab membesarkan kami,” katanya.

Sementara itu, Siti Rosmaliza berkata, dia diamanahkan oleh arwah kakaknya untuk menjaga anak saudaranya itu sebelum kakaknya itu meninggal dunia.

“Pendapatan saya sebagai pengasuh hanya RM300 sebulan dan kami juga terima bantuan zakat RM400 sebulan. Wang ini yang digunakan untuk keperluan keluarga kami,” katanya yang sudah berkahwin sejak 2013.

Katanya, suaminya kini bekerja di Johor Bahru, Johor dan pulang dua bulan sekali melawat mereka sekeluarga.

Menurut Siti Rosmaliza, walaupun dia tidak mempunyai pendapatan tinggi, dia tidak akan menyerahkan tiga anak saudaranya itu ke rumah anak yatim kerana terlalu sayangkan tiga beradik itu seperti anak kandung.

Keterangan gambar: 1- Mohd Shahrizal bergambar bersama adiknya serta Siti Rosmaliza.tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 5:56 AM