ERWIN Dawson. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ERWIN Dawson. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


Akibat dikatakan kurang bergaul dan bercakap dengan orang sekeliling ketika menghadiri sebarang majlis, pelakon kacak kelahiran Singapura, Erwin Dawson dikatakan sombong.

Bagaimanapun, Erwin atau nama sebenarnya Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 29, menafikan perkara itu, sebaliknya berasa pelik apabila ada beranggapan begitu sehingga memberikan persepsi negatif terhadap dirinya.

“Selama ini saya okey dan mesra saja. Namun tidak dinafikan ada masanya ‘mood’ kita kurang baik, jadi ekspresi wajah tidaklah ceria. Tetapi, jika ada yang menegur pasti saya akan membalasnya dengan senyuman.

“Saya tidak sombong. Pelik juga apabila ada yang beranggapan sedemikian. Cuma, janganlah mengharapkan saya senyum sepanjang masa. Saya hanya manusia biasa dan bukannya robot. Saya atau sesiapa pun tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Saya hanya buat yang termampu,” katanya.

Disebabkan itu juga, ramai beranggapan ia punca Erwin masih kurang dikenali, sekali gus gagal mencipta populariti seperti pelakon Singapura lain antaranya Aaron Aziz, Datuk Adi Putra dan Hisyam Hamid.

“Kalau diikutkan sudah tujuh tahun saya berlakon termasuk di Malaysia. Bagi saya, soal populariti atau kurang dikenali ini terlalu subjektif. Mungkin saya tidak kuat dari segi sokongan peminat atau pengikut di laman sosial.

“Saya akui tidak popular seperti pelakon lelaki lain. Namun saya bersyukur masih ditawarkan berlakon. Jadi, saya lebih utamakan kualiti kerja. Malah saya percaya, dari situ boleh membawa kepada populariti.

“Lambat atau cepat, ini semua rezeki. Saya hanya perlu bersabar dan yakin masanya akan tiba nanti. Jadi, untuk ke arah itu saya kena fokus perkara lain iaitu lakonan,” katanya.

Elak gosip murahan

Walaupun menyedari kebanyakan artis lain popular disebabkan gosip dan kontroversi, Erwin pula selesa untuk berdiri atas bakat sendiri.

Seboleh-bolehnya Erwin mengelak diganggu kontoversi yang akhirnya hanya memberi kesan negatif. Lebih malang, perkara itu akan dikenang sampai bila-bila.

“Tidak pernah terlintas di fikiran atau terdetik niat nak buat kontroversi atau jaja cerita yang tidak betul membabitkan diri sendiri. Pendek kata, saya belum terdesak lagi untuk popular. Saya tidak mahu dilabel pelakon yang suka mencari publisiti murahan. Saya lebih suka tonjolkan hasil kerja.

“Memang saya belum ada drama dan watak lakonan yang meletup. Mana tahu akan datang drama lakonan saya mendapat sambutan baik, tidak mustahil peminat juga ingin mengikuti dan kenal lebih dekat.

“Apa yang penting, saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam setiap watak diberikan. Saya yakin, pihak stesen TV atau penerbit masih mempunyai pertimbangan dalam soal ini,” katanya.

Menurut Erwin, dia juga tidak kisah memiliki jumlah pengikut yang sedikit di laman Instagram iaitu 101,000 orang.

“Saya akui sekarang banyak pihak mementingkan ‘followers’ seseorang artis sebelum ditawarkan kerja. Bagi saya, ia pilihan masing-masing.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih dapat tawaran berlakon. Paling penting, setiap bulan ada pendapatan untuk membayar bil serta keperluan lain.

“Dengan jumlah pengikut sekarang, saya sudah bersyukur. Terima kasih kepada peminat yang sudi mengikuti perkembangan saya di Instagram,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erwin kini terbabit dalam penggambaran drama Tiada Arah Jodoh Kita untuk slot Akasia di TV3. Dia juga bakal memulakan penggambaran drama Nafas bersama Sangeeta Krishnasamy untuk ntv7.

Selain itu, kata Erwin, dia juga dipilih menjadi hos program bual bicara pagi terbitan ntv7, Feel Good Show.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 2:21 AM