Azahar Hashim


SUDAHLAH merogol wanita orang kurang upaya (OKU) mental, malah seorang lelaki turut tertidur di rumah mangsa di Serdang, Bandar Baharu hampir lima jam sebelum melarikan diri, semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun itu turut ditumbuk sebelum dirogol suspek berusia 50 tahun di dalam bilik tidur mangsa.

Menurut sumber, selepas merogol mangsa, suspek yang keletihan turut tertidur sebelum melarikan diri sebaik tersedar.

"Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada seorang lelaki yang tinggal di kawasan terbabit.

"Dia kemudian dibawa lelaki itu untuk membuat laporan di Balai Polis Serdang untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat itu kemudian bertindak mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di kawasan Serdang sejam selepas mangsa membuat laporan polis.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Baruddin Wariso ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan suspek kini sudah ditangkap dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (2) (K) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 3:11 PM