Nur Nabilah sudah 90 peratus pulih daripada sindrom Stevens-Johnson akibat alahan ubat, Disember tahun lalu. FOTO ihsan Nur Nabilah
Nur Nabilah sudah 90 peratus pulih daripada sindrom Stevens-Johnson akibat alahan ubat, Disember tahun lalu. FOTO ihsan Nur Nabilah
Nabihah Kamal


 "NIKMAT makan hilang, nak berkomunikasi dengan orang lain pun susah dan paling menyedihkan tak dapat layan anak dan suami seperti dulu.

“Bagaimanapun, suami, anak, ibu, bapa, keluarga dan rakan banyak beri dorongan membuatkan saya teru s semangat untuk sembuh," kata Nur Nabilah Mohd Salleh, 32, yang menghidap sindrom Stevens-Johnson akibat alahan ubat, Disember tahun lalu.

Kini, bekas peguam itu sudah 90 peratus pulih, hanya masalah saraf dihadapi yang memerlukan dia menjalani rawatan susulan.

Menurutnya, pada awalnya, dia sakit gigi menyebabkan sukar untuk bercakap selain makan dan minum.

“Rasa seperti kejutan elektrik di dalam mulut menyebabkan saya buat rawatan matikan akar dan tampal gigi.

“Bagaimanapun, sakit masih berlanjutan menyebabkan saya berjumpa doktor lain sebelum saya diminta untuk membuat Imbasan CT (imbasan tomografi berkomputer) kerana berkemungkinan ada tumor di otak," kata ibu kepada dua anak itu. 

 Nur Nabilah berkata, selepas menjalani CT Scan dia disahkan mengalami masalah saraf sebelum diberi ubat bagi memulihkan bengkak pada saraf dan ubat tahan sakit.

“Selepas makan ubat, perkembangan semakin positif kerana boleh makan dan cakap seperti biasa tetapi mengantuk, mata bengkak dan kerap demam menyebabkan saya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

“Apabila menjalani pemeriksaan, doktor sahkan bacaan platelet darah rendah daripada kebiasaan dan jika dibiarkan ia boleh sebabkan pendarahan dan boleh membawa maut," katanya. 

Menurutnya, dia bukan saja demam, malah terpaksa menahan sakit apabila mukanya bertukar kemerah-merahan dan berasa seperti terbakar selain menanggung ulser di mulut.

“Mulut penuh dengan ulser, suhu badan tak turun, mata bengkak dan ada selaput dalam mata menyebabkan doktor merujuk kepada pakar bedah mulut, kulit dan mata.

“Doktor beritahu saya alah dengan ubat T.Carbamazepine dan menyebabkan saya berasa 'down' (patah semangat) dan ragu-ragu sama ada boleh sembuh atau tidak," katanya.

 Katanya, keluarga dan rakan banyak memberi semangat supaya dia terus positif untuk sembuh seperti sedia kal

“Alhamdulillah, keadaan semakin pulih di mana 90 peratus sudah baik cuma saya mengalami masalah saraf dan sedang menjalani rawatan," katanya.

Nur Nabilah yang berkongsi dugaannya itu di laman sosial berkata, dia diberikan kad alahan ubat sebagai rujukan.

“Selepas ini pergi mana-mana klinik mesti tunjuk kad alahan. Nasihat saya, berhati-hati ambil ubat sebab kita tak tahu alahan yang dialami.

“Pengajaran yang saya dapat, jika ada kesan ubat seperti merah pada badan, mata bengkak dan ulser mesti segera jumpa doktor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 11:04 PM