Asrizal Aris


“Saya memang suka menyanyi sejak sekolah rendah dan selalu membuat persembahan. Di universiti pun saya aktif dalam seni suara dan kebudayaan sehingga pernah dijemput oleh beberapa stesen televisyen untuk membuat persembahan.

"Jadi apabila saya ditempatkan di sekolah itu dan diminta untuk membuat persembahan, memang bakat saya ke arah itu jadi saya memilih untuk menyanyi tapi tak sangka ia dirakam lalu tular di laman sosial," kata Nur Izzati Mohd Arifin, 27, guru yang tular di laman sosial selepas menyanyi di hadapan pelajar di dewan sekolahnya di Kulai, Johor.

Video berdurasi tiga minit 38 saat itu menyaksikan Nur Izzati menyanyikan lagu Menahan Rindu nyanyian Wany Hasrita yang dirakam pada Mei tahun lalu dan mula menjadi tular sejak sebulan lalu serta menerima pelbagai reaksi netizen.

Nur Izzati yang mesra dengan panggilan Cikgu Zetty berkata, sejak kecil dia memasang cita-cita mahu menjadi seorang penyanyi namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana mahu menunaikan impian ibu bapanya yang mahu dia menjadi seorang pendidik.

Katanya yang ditempatkan di sekolah berkenaan Mac tahun lalu, sudah seperti menjadi tradisi di sekolah itu, guru baharu harus membuat persembahan pada sambutan majlis berkenaan.

"Terima kasih sebab menghargai dan menyokong bakat saya,” katanya.

Menurut Cikgu Zetty, dia tidak kisah dengan kecaman dan tanggapan negatif netizen kerana menganggap tindakannya itu hanya untuk memeriahkan lagi majlis sambutan Hari Guru di sekolahnya.

Kata pelajar lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, dia hanya mampu tersenyum apabila melihat komen netizen mengatakan dia 'gila glamor', melebih-lebih dan mengutamakan hiburan daripada mengajar.

"Saya tidak mahu layan sangat komen negatif netizen sebab pada saya membuat persembahan seperti itu tidak salah dan hanya untuk majlis tertentu sahaja bukannya setiap hari atau ketika waktu pembelajaran.

"Tapi ramai yang bersangka baik dan saya berterima kasih. Tidak lupa juga yang memberi komen lucu," katanya yang sedang mengandung lapan bulan anak kedua.

Menurut Cikgu Zetty, dia yang kini mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah berkenaan gemar mendekati pelajar dengan berkongsi minat sebagai kaedah untuk memastikan pelajarnya tidak rasa terbeban untuk belajar.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 10:44 PM
Cikgu Zetty (tengah) bersama pelajarnya dan petikan video dia menyanyi  yang dirakam pada Mei tahun lalu .
Cikgu Zetty (tengah) bersama pelajarnya dan petikan video dia menyanyi yang dirakam pada Mei tahun lalu .