Gambar yang digunakan Annas ketika memuatnaik status meminta sumbangan di FB.
Gambar yang digunakan Annas ketika memuatnaik status meminta sumbangan di FB.
Mazizul Dani


“ALHAMDULILLAH, ada yang hubungi saya dan beri sumbangan, menawarkan pekerjaan kepada saya, tawarkan pelbagai jenis ubat mahupun ada yang nak beli rumah dan kereta saya.”

Demikian kata Affeirul Annas Azzandry Azizan, 33, bekas kakitangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) (kini MAB) selepas status dimuat naiknya di Facebook (FB) meminta sumbangan untuk meneruskan kehidupan tular.

Dia yang mesra disapa Annas bagaimanapun mengakui sedikit tertekan dengan keadaan itu memandangkan dirinya menghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) dan kemurungan.

"Saya agak tertekan apabila ramai yang hubungi saya selepas status yang saya muat naik 3 Januari lalu tular dan memang tidak melihat kembali status berkenaan sehingga kini kerana bimbang memudaratkan kesihatan.

"Saya terpaksa melakukan demikian (muat naik status memohon sumbangan) kerana dalam keadaan terdesak sukar mendapat pekerjaan selain tidak mampu meneruskan perniagaan," katanya yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

Annas berkata, dia memegang kad berkenaan sejak pertengahan tahun lalu kerana 20 peratus kehilangan upaya kekal disebabkan kemalangan di tempat kerja.

"Saya mengalami slipped disc pada 2007 ketika bertugas dan bermula 2008, saya menjalani lapan pembedahan. Ini juga antara faktor perkhidmatan saya termasuk isteri sebagai Ejen Perkhidmatan Pelanggan ditamatkan pada Ogos 2015 selepas 11 tahun berkhidmat.

"Sementara penyakit OCD pula dikesan pada September tahun lalu dan sekarang ini bergantung kepada ubat sepenuhnya dan terpaksa berehat di rumah," katanya yang menetap di Bayan Lepas, Pulau Pinang bersama isteri dan tiga anak berusia 5, 9 dan 12 tahun.

Katanya, dia ada menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM200 sebulan yang diberikan setiap tiga bulan, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat baru-baru ini untuk menampung persekolahan anak-anaknya.

Annas berkata, dia menghargai beberapa tawaran kerja yang diberikan kepadanya, tetapi mereka perlu memahami keadaan kesihatannya dulu supaya pekerjaan yang ditawarkan bersesuaian dengan dirinya.

Sementara itu, isterinya, Sharin Jamalia Jamaludin, 37, mengakui dia tidak sanggup untuk mendengar hinaan daripada orang sekeliling selepas kisah keluarganya diketahui menerusi status di FB suaminya yang tular.

"Saya tertekan, malu dan marah kepada Annas dan minta dia memadamkan status berkenaan dan saya mohon berhenti kongsikan di FB.

"Dia minta teruskan saja kerana mungkin dia sudah buntu kerana tiada jalan lain dan katanya, Allah SWT yang menunjukkan jalan ini kepadanya. Jadi, saya reda..," katanya.

Sharin Jamalia berkata, pada permulaan ketika mereka berdua ditamatkan perkhidmatan, tekanan sangat dirasai memandangkan wang pampasan tidak mencukupi untuk membayar hutang dan perbelanjaan anak-anak.

Mereka kemudian menjalankan pelbagai jenis perniagaan secara dalam talian sehingga yang terakhir perniagaan membuat tepung ayam goreng, tetapi terpaksa dihentikan sementara Ogos lalu kerana kesihatan suaminya tidak mengizinkan.

"Duit banyak juga habis untuk buat pemasaran perniagaan kami dan kemudian terpaksa berhenti kerana Annas mengalami kemurungan yang sangat teruk. Saya tak mampu teruskan seorang.

"Jadi kini saya bekerja sambilan di tempat kerja lama saya. Mudah-mudahan selepas ini ada pihak yang sudi membantu untuk kembangkan perniagaan tepung ayam goreng kerana kami tidak mampu," katanya.

Dalam masa sama, dia turut berterima kasih kepada semua yang memberi sumbangan kerana bantuan kecil itu sekurang-kurangnya mampu meredakan kekusutan dihadapi keluarga mereka.

"Saya malu... Saya tidak mahu orang salah anggap kerana dari segi luaran orang memang nampak Annas sihat kerana dia sebenarnya 100 peratus bergantung kepada ubat. Orang nampak dia macam sihat, tetapi sebaliknya saya perlu awasi dia sepanjang masa.

“Sebagai isteri dan ibu, saya perlu kuat demi suami dan anak-anak kerana dia (Annas) pun mengharapkan saya. Saya minta orang jangan pandang kami ke belakang, pandang kami ke depan,” katanya.

Sharin Jamalia berkata, bantuan mungkin boleh dihulurkan kepada keluarganya dalam bentuk membantu perniagaan berkenaan yang sebenarnya diasaskan oleh Annas supaya suaminya itu mampu beroleh semangat baru dan lebih kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:49 PM