Siti Fatimah Nasir


SASTERAWAN Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, Selangor, kira-kira 8 pagi hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Saifullizan Yahaya, berkata beliau dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Asrul Sani.

"Jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3 Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini," katanya.

Shahnon dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah dan dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982.

Beliau pernah menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid (1960-1963) sebelum mengajar sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Halim(1967).

Shahnon turut pernah menjadi Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim ; pensyarah Universiti Sains Malaysia (1974) dan memperolehi Sarjana Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) (1975).

Shahnon kemudian dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (1979) ; Profesor Sastera USM (Jun 1980) ; profesor penuh di USM (1982) ; dan Pengarah Pusat Islam USM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 10:47 AM