SHIHA terkejut ditawarkan menyanyi lagu OST filem Makrifat Cinta.
SHIHA terkejut ditawarkan menyanyi lagu OST filem Makrifat Cinta.
Syafil Syazwan Jefri


Sepanjang tujuh tahun bergelar anak seni, penyanyi Shiha Zikir akhirnya diberi peluang untuk berkolaborasi dengan komposer dari luar negara.

Bekerjasama dengan komposer dari India, Naren Balakumar untuk lagu Makrifat Cinta yang menjadi OST filem dan pada masa sama memberikan ilmu dan pengalaman baru buat penyanyi berusia 30 tahun itu.

“Ketika ditawarkan untuk menyanyi, saya memang terkejut kerana ini lagu untuk OST filem yang boleh dikatakan berskala besar dengan barisan pelakon hebat.

“Menariknya, proses untuk penghasilan lagu ini berlaku dengan sangat pantas. Bayangkan, saya diberikan lagu pada 9 Disember lalu, jam dua petang.

“Waktu itu, saya berada di satu acara. Jadi, jam 4 petang, baru saya sempat untuk mendengar lagu itu dan berlatih selama lima jam, sebelum sesi rakaman yang berlangsung pada jam 9 malam,” katanya.

Proses rakaman berlangsung selama dua jam dan dalam tempoh itu, dia bekerjasama dengan penulis lirik, Dr Rizal untuk mengalih bahasa lagu asal yang menggunakan lirik dalam Bahasa Inggeris.

“Melodinya memang mencabar. Saya percaya semua sedia maklum dengan karya muzik dari India yang memang sukar untuk dibawakan memandangkan ia tidak lari jauh dari lenggok lagu Hindi,” katanya.

Kata Shiha, bukan saja komposer, sesi rakaman itu turut dihadiri beberapa wakil dari India antaranya, jurutera bunyi yang mengendalikan proses rakaman Makrifat Cinta.

Selain Makrifat Cinta yang akan ditayangkan pada 1 Februari 2018, rezeki buat Shiha apabila satu lagi lagu dendangannya dijadikan OST untuk satu lagi filem, Bukan Cinta Malaikat.

“Filem Bukan Cinta Malaikat arahan pengarah, Aziz M Osman. Judul lagu OST untuk filem itu ialah Cintaku Tak Sempurna, kolaborasi bersama band baru, Analog,” katanya.

Menjadi filem pertama yang memuatkan lantunan suaranya sebagai OST, Bukan Cinta Malaikat akan ditayangkan pada 25 Januari tahun depan.

Selain itu, Shiha turut berkongsi kegembiraan apabila single terbarunya, Jagakan Dia mula mendapat tempat dan mencecah jumlah tontonan sehingga lebih sejuta di YouTube.

“Ini kali pertama lagu nyanyian saya mencecah jumlah tontonan di YouTube melebih sejuta. Saya sangat bersyukur dan rasanya, penat lelah selama ini terbayar.

“Mungkin tidak serancak artis seperjuangan lain yang lebih cepat mengaut jumlah tontonan di YouTube, tapi saya gembira kerana Jagakan Dia adalah buah tangan pertama yang saya sendiri lihat prosesnya dari awal hingga akhir,” katanya.

Apa pun, Shiha sentiasa mengharapkan agar karier nyanyian sentiasa mendapat sokongan daripada peminat dan itu akan membuatkannya terus bersemangat untuk bekerja lebih keras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 5:21 AM