UPIAK Isil. FOTO Saifullizan Tamadi.
UPIAK Isil. FOTO Saifullizan Tamadi.
Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@ hmetro.com.my

Pernah diremehkan kerana dianggap sebagai penyanyi lagu orang gila dan tidak beretika, kini penyanyi dari Bukit Tinggi, Indonesia, Upiak Isil mampu tersenyum lebar dengan pencapaiannya.

Mana tidaknya, lagu berjudul Tak Tun Tuang yang pada awalnya menjadi bahan ketawa kini tular bukan saja di tanah kelahirannya tetapi juga di Malaysia dan Thailand.

“Memang saya pernah patah semangat apabila ada yang merendahkan dan menganggap saya tak beretika dari segi pemakaian kerana menyanyi dengan berbaju tidur. Mujur ada keluarga yang sentiasa menyokong dan menjadi penguat semangat apabila saya hampir tersungkur. Perlahan-lahan, saya cuba buktikan saya bukan penyanyi lagu orang gila,” katanya.

Upiak atau nama sebenarnya Silvia Nanda mengakui kehidupannya banyak berubah selepas mula dikenali.

“Dulu, kehidupan saya dan keluarga sangat susah. Saya mula bekerja sebagai penyanyi seawal usia 13 tahun untuk menyara keluarga. Ketika saya masih kecil, ibu bapa saya bercerai dan waktu itu, ibu sedang hamilkan adik saya yang ketiga. Jadi, saya dan adik kedua terpaksa membantu ibu mencari duit.

“Saya pernah berkahwin tetapi cuma bertahan dua tahun setengah saja. Saya anggap itu sebagai takdir dan pengalaman itu menjadikan saya wanita yang lebih kuat,” katanya.

Mungkin ramai tak tahu Upiak pernah menghasilkan 19 album sepanjang kariernya sejak berusia 13 tahun.

“Di Padang, album saya boleh dikatakan terjual dan orang tahu kewujudan saya sebagai penyanyi. Namun, tidak seperti di Malaysia, di kampung saya tiada royalti dan sebagainya,” katanya.

Bukan sekadar bergelar penyanyi, Upiak juga adalah pelawak di tempatnya dan memilih untuk sengaja menyanyikan lagu secara sumbang.

“Saya boleh menyanyi dengan baik, tetapi kalau saya menyanyi sebaik mana pun, akan ada orang yang lagi bagus daripada saya. Jadi, saya tampilkan kelainan dengan menyanyikan lagu seperti yang kalian dengar,” katanya.

Popular mendadak

Penyanyi berusia 32 tahun yang memiliki kerjaya sebagai jururawat itu juga mengakui terkejut apabila lagu Tak Tun Tuang tular dan dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi.

“Memang saya sangat terkejut apabila Tak Tun Tuang dinyanyikan semula. Saya pada awalnya sedih dan marah kerana saya fikir, penyanyi itu menyanyikan semula lagu saya dan mengaku itu lagu mereka.

“Di Padang, kalau sesuatu lagu dimuat naik ke YouTube, itu ertinya dimuat naik oleh penyanyi asal. Tetapi, itu adalah salah faham dan sekarang saya faham apa sebenarnya lagu ‘cover’,” katanya.

Tidak hanya semakin popular dari sudut kerjaya, dia juga mula menerima mesej peribadi daripada peminat.

“Ramai lelaki cuba mendekati saya. Ada juga orang yang saya suka satu ketika dulu, mula menghantar mesej kepada saya di Instagram. Tetapi saya rasa ini masanya saya fokus kepada kerjaya,” katanya.

Upiak juga menyuarakan keinginannya untuk menetap di Malaysia, namun banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Saya suka tinggal di sini, tetapi keluarga saya di Padang dan saya perlu pertimbangkan banyak perkara. Buat masa sekarang, saya berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia,” katanya.

Upiak juga kini sedang dalam proses menghasilkan single kedua yang masih berkonsepkan lagu komedi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 6:59 AM