Pengantin lelaki, Anuar Abdul Hamid, 37, dibawa menaiki sampan selepas turun dari lori bomba untuk ke rumah pengantin perempuan. Gambar kanan, Anuar menyarungkan cincin ke jari isterinya,  Yumni Abdul Manaf, 27.  - Foto FATHIL ASRI

Syaherah Mustafa

ROMBONGAN pengantin diangkut dengan lori bomba sebelum menaiki sampan ke rumah pengantin perempuan di Kampung Jejawi, Pasir Mas manakala tetamu menjamu selera dengan kaki berendam dalam air antara kenangan majlis perkahwinan Anuar Abdul Hamid, 37, dengan Yumni Abdul Manaf, 27, hari ini.

Menurut Anuar, banjir menyebabkan dia berkata dia dan keluarga terpaksa meminta bantuan bomba bagi membawa mengikuti rombongannya kerana jalan keluar dari rumahnya di Bukit Tandak, Pasir Mas, turut dinaiki air.

Menurutnya, seramai 50 ahli rombongan pengantin lelaki dibawa menaiki lori bomba melalui jalan alternatif sejauh 22 kilometer sebelum menaiki sampan milik penduduk kampung ke rumah pengantin perempuan yang dinaiki air sedalam 0.3 meter.

Tetamu menikmati hidangan dalam air berikutan rumah pengantin perempuan di Kampung Jejawi, Pasir Mas, dinaiki air sedalam 0.3 meter. -  Foto FATHIL ASRI
Tetamu menikmati hidangan dalam air berikutan rumah pengantin perempuan di Kampung Jejawi, Pasir Mas, dinaiki air sedalam 0.3 meter. - Foto FATHIL ASRI

“Selain kami, tetamu yang datang juga terpaksa diangkut dengan sampan sejauh 100 meter untuk ke rumah pengantin perempuan.

“Saya bersyukur kerana majlis perkahwinan kami tetap lancar walaupun tetamu terpaksa menjamu selera dengan berendam kaki dalam air.

"Perkahwinan ini akan menjadi kenangan terindah kami," katanya yang ditemui, hari ini.

Menurutnya, perancangan untuk mengadakan majlis itu sudah lama dilakukan dan dia tidak menyangka banjir melanda tahun ini lebih lama.

Rombongan pengantin lelaki menaiki lori Bomba dan Penyelamat dari Bukit Tandak ke Kampung Jejawi. Pasir Mas. - Foto FATHIL ASRI
Rombongan pengantin lelaki menaiki lori Bomba dan Penyelamat dari Bukit Tandak ke Kampung Jejawi. Pasir Mas. - Foto FATHIL ASRI

“Banjir mula melanda sejak Ahad lalu dan saya serta isteri tidak berhasrat membatalkannya kerana yakin banjir akan surut.

“Saya terharu kerana tetamu sanggup meredah banjir dengan berkaki ayam untuk memeriahkan majlis perkahwinan kami, malah ada yang pakaian mereka basah.

"Terima kasih juga kepada bomba dan penduduk kampung yang membantu melancarkan perkahwinan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 6:12 PM