LETUSAN Gunung Agung kelihatan dari Kampung Culik, Karangasem, Bali. FOTO Reuters/Antara Foto
LETUSAN Gunung Agung kelihatan dari Kampung Culik, Karangasem, Bali. FOTO Reuters/Antara Foto
Mazizul Dani

SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia membatalkan 32 penerbangan dan menjadualkan semula dua penerbangan dari dan ke Bali dan Lombok, Indonesia, hari ini susulan Gunung Agung di Bali kembali aktif.

AirAsia, dalam kenyataan hari ini berkata, penumpang akan dimaklumkan berhubung status penerbangan mereka menerusi e-emel yang didaftarkan.

Katanya, bagi penumpang yang penerbangannya dibatalkan, mereka boleh menukar kepada tarikh yang baru untuk laluan yang sama dalam tempoh 30 hari penerbangan asal tanpa kos tambahan dan bergantung kepada kekosongan tempat duduk.

Jika tidak mahu menukar tarikh, penumpang boleh menyimpan kredit nilai tambang itu ke dalam akaun kredit untuk penerbangan akan datang dengan AirAsia, katanya.

“Akaun Kredit dalam talian perlu ditebus dalam tempoh 90 hari daripada tarikh tiket dikeluarkan.

"Penumpang dinasihati untuk memeriksa status penerbangan mereka menerusi www.airasia.com dan laman sosial AirAsia untuk pengumuman lanjut, selain melihat status penerbangan menerusi ruangan ‘Manage My Booking’ di laman Web AirAsia," katanya.

AirAsia berkata, mereka memantau situasi berkenaan dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa dan akan terus melakukan penilaian risiko bagi memastikan keselamatan operasinya dan akan memaklumkan perkembangan terkini.

Syarikat itu turut menasihat mana-mana penumpang yang memerlukan maklumat lanjut dan bantuan untuk menghubungi bahagian khidmat pelanggan di https://support.airasia.com.

Sementara itu, penerbangan Malaysia Airlines ke dan dari Lapangan Terbang Ngurah Rai Denpasar, Bali beroperasi mengikut jadual.

“Syarikat memantau situasi ini dan akan mengemaskini penumpang sekiranya ada perubahan jadual penerbangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook (FB).

Berita berkaitan:

Asap setinggi 4,000 meter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:50 PM