UMAT Islam perlu tahu bataskan diri untuk bergambar  ketika  ke rumah ibadat. Gambar kecil, Dr Mahmood Zuhdi. FOTO NSTP
UMAT Islam perlu tahu bataskan diri untuk bergambar ketika ke rumah ibadat. Gambar kecil, Dr Mahmood Zuhdi. FOTO NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Masjid adalah tempat suci untuk umat Islam beribadat, jika mengambil gambar atau video sekadar suka-suka untuk hiburan semata-mata saya rasa adalah tidak wajar,” kata Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Menurutnya, umat Islam perlu tahu membataskan diri untuk bergambar lebih-lebih lagi ketika pergi ke rumah ibadat.

“Bayangkan, zaman dulu pun untuk berbual dalam masjid tidak dibenarkan, ini lagilah bergambar swafoto sekadar suka-suka untuk hiburan.

“Jika ia adalah satu keperluan pun (mengambil gambar) mereka perlu tahu batas dan adab serta menjaga akhlak ketika berada di masjid,” katanya kepada Metro Ahad.

Beliau mengulas laporan portal mendakwa Arab Saudi melarang jemaah mengambil gambar dan video di Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula 12 November lalu dilihat mengganggu jemaah lain beribadat. Bagaimanapun, belum ada pengesahan rasmi mengenai larangan itu daripada pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, umat Islam perlu tahu membezakan antara rumah ibadat dan tempat rekreasi sekiranya terlintas niat melakukan swafoto.

“Jika ke Makkah atau Madinah jemaah perlu membataskan diri menggunakan alat hiburan dan menumpukan perhatian melakukan ibadat.

“Malah, saya sangat menyokong larangan ini dikuatkuasakan kerana tempat suci seperti itu tidak perlu sangat didedahkan kepada umum atas faktor keselamatan,” katanya.

Menurutnya, mengambil contoh apa yang berlaku di Masjid al-Rawdah di Bir al-Abed, Kaherah yang dibom hingga mengorbankan 155 nyawa, Jumaat lalu, perlu menjadi pengajaran semua pihak mengetatkan keselamatan di rumah Allah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) Datuk Jeffri Sulaiman turut mendengar perkhabaran mengenai larangan itu walaupun masih belum secara rasmi.

“Sekiranya betul (larangan bergambar dan video), kita perlu hormat undang-undang negara orang, jika tidak dibenarkan mengambil gambar dan video maka jemaah Malaysia perlu patuh.

“Saya lihat ia langkah keselamatan berkesan yang diambil kerajaan Arab Saudi bagi mengekang pengganas dan menjaga kesucian rumah ibadat umat Islam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:32 AM