Nabihah Kamal


"SAYA berniaga nak tambah pendapatan, sambil kumpul duit untuk kahwin," kata Nor Syazwana Mohd Sulaiman, 22, yang tular di media sosial selepas gambarnya menjual nasi ayam bakar di Taman Medan, Petaling Jaya menjadi perhatian.

Menurut Nor Syazwana, dia hanya mempromosikan perniagaan secara sambilan bersama tunangnya, Muhammad Bicky Fazly, 21, sejak sebulan lalu menerusi akaun Twitternya, minggu lalu.

"Saya tidak sangka gambar saya tular di Facebook (FB) hingga menyebabkan semalam jualan saya naik sekali ganda.

"Selalunya saya hanya jual 25 ekor ayam tetapi semalam saya berjaya jual 50 ekor ayam bakar," katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai perunding khidmat pelanggan di Petaling Jaya.

Menurut gadis itu, bukan saja jualannya meningkat malah dia terpaksa tutup awal kerana kehabisan stok ayam.

"Ada juga yang kecam saya di FB mengatakan bukan saya yang masak. Saya masak sendiri bersama tunang tetapi kalau sibuk ada ahli keluarga yang bantu.

"Tidak kisah orang mahu cakap apa, yang penting saya mahu cari rezeki halal untuk kumpul duit kahwin," katanya.

Menurut Nor Syazwana nasi yang dijual adalah daripada beras perang (brown rice)

"Saya berniaga setiap Isnin hingga Sabtu bermula dari 5 petang hingga 11 malam.

"Harga pula dari RM6.50 hingga RM7.50," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 12:21 AM
Nor Syazwana berniaga nasi ayam bakar bersama tunangnya di  Taman Medan, Petaling Jaya
Nor Syazwana berniaga nasi ayam bakar bersama tunangnya di Taman Medan, Petaling Jaya