Nurizzatul (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika menunggu proses bedah siasat jenazah. FOTO  Abnor Hamizam Abd Manap
Nurizzatul (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika menunggu proses bedah siasat jenazah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


“IBU menyuruh saya mengambil gambarnya banyak-banyak,” kata anak bongsu kepada Amaisah Mohamad Azid, 54, yang maut kemalangan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Felda Jaya Selatan, Jempol, pagi ini.

Nurizzatul Othman, 14, berkata, dia mengambil gambar ibunya menggunakan telefon bimbit petang semalam untuk dihantar kepada kakak yang tinggal di Kajang.

Katanya, dia tidak menyangka kata-kata arwah ibu itu adalah petanda akan pergi buat selama-lamanya kerana ibunya suka bergurau.

Arwah ibu dan abang Mohammad Aliff Azmi, 27, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Serting Hilir selepas menjalani rawatan dialisis di sebuah klinik swasta di Bahau, 11.47 pagi.

"Sudah menjadi rutin abang membawa ibu ke klinik setiap tiga kali seminggu bagi menjalani rawatan berkenaan. Ibu menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu.

"Ibu dan abang sangat rapat sehinggakan abang sanggup tidak bekerja kerana mahu menjaga ibu. Abang juga menjaga saya dengan baik walaupun kami berlainan bapa," katanya ketika ditemui di Hospital Jempol, hari ini.

Nurizzatul yang menghidap penyakit jantung berlubang berkata, arwah abang juga yang menghantarnya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan.

Katanya, dia sangat sedih dengan kehilangan kedua-dua orang tersayang, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Menurutnya, jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Serting Hilir Kompleks, malam ini.

Berita berkaitan

Ajal ibu dan anak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 6:36 PM