TIJAH menunjukkan anak pokok balak yang disemai sebelum dijual.
TIJAH menunjukkan anak pokok balak yang disemai sebelum dijual.
Nazdy Harun


Hulu Terengganu: Walaupun menginjak usia emas, wanita ini tetap cergas melakukan kerja semaian anak pokok balak bagi menjamin kesinambungan kelestarian alam untuk generasi akan datang.

Bagi Tijah Ali, 62, dia puas melakukan pekerjaan itu meskipun ia sekadar mengisi masa lapang dan lebih mengujakannya kerana tahu anak pokok yang disemai akan ditanam di dalam hutan atau setidak-tidaknya dijadikan bahan kajian.

Menurutnya yang berasal dari Kampung Kuala Jeneris, usaha menanam anak pokok balak dilakukannya sejak 17 tahun lalu selepas melihat potensi serta permintaan tinggi.

“Biasanya orang mengusahakan semaian anak pokok buah-buahan dan bunga namun saya memilih untuk menyemai anak pokok balak antaranya jenis cengal kampung, meranti tembaga dan rambai daun.

“Setiap anak pokok yang mencapai ketinggian sekaki setengah dijual dengan harga 40 sen sepohon manakala anak pokok pula saya beli dengan harga empat sen sepohon daripada pembekal yang memungutnya di dalam hutan,” katanya.

Katanya, anak pokok itu dibiarkan di kawasan lapang untuk pembesaran sebelum dijual.

“Biasanya anak pokok balak ini dijual satu atau dua kali setahun dan setiap tahun saya mampu memasarkan hingga 30,000 anak pokok balak kepada pengusaha pusat semaian pokok di kampung,” katanya.

Tijah berkata, ada juga individu dan kakitangan kerajaan datang melihat dan membuat kajian mengenai spesies anak pokok balak yang disemainya itu dan secara tidak langsung ia memberi kepuasan kepadanya dalam usaha menjaga kelestarian alam.

“Bukan duit yang saya cari, jika dibandingkan untung sememangnya tidak seberapa dengan kerja yang dilakukan namun kepuasan melakukan kerja semaian membuatkan saya terus mengabdikan diri untuk melakukan kerja ini selagi terdaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:07 AM