Aida Adilah Mat


KETUA Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Datuk Dr SS Cheema mengesahkan pingat emas yang diraih oleh atlet yang didapati positif doping akan ditarik balik.

Biarpun kes itu perlu dilanjutkan kepada jawatankuasa pendengaran namun secara pastinya selepas atlet disahkan positif ujian doping, pingat dan segala insentif kewangan yang diberikan kepada atlet berkenaan akan ditarik semula.

Cheema berkata, hingga setakat ini tiga kes doping dilaporkan termasuk membabitkan seorang penerjun negara iaitu Wendy Ng Yan Yee (gambar).

Bagaimanapun SEAGF tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sebarang bentuk hukuman kerana ia di bawah bidang kuasa badan induk persatuan sukan itu.

“Seratus peratus pasti pingat itu akan ditarik balik. Tapi kami akan memberi peluang kepada atlet untuk membela diri dan menjelaskan bagaimana bahan larangan itu boleh ada dalam badan mereka,” katanya.

Cheema menjelaskan daripada tiga kes itu satu kes sudah mempunyai tarikh untuk sesi pendengaran iaitu pada 30 Oktober ini dan SEAGF masih lagi menunggu lanjutan untuk dua kes lagi.

Penerjun negara Wendy disahkan positif sibutramine ketika temasya Sukan SEA (KL2017) dan berdepan hukuman penggantungan maksimum dua tahun.

Merujuk kepada fakta kes, ia bukan sesuatu yang baru kerana sebelum ini atlet wushu negara Tai Cheau Xuen juga didapati bersalah menggunakan sibutramine pada Sukan Asia Incheon 2014 selepas memenangi pingat emas.

Pingat kemenangannya bagaimanapun ditarik balik dan dia dikenakan penggantungan empat bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:51 PM